KOTA SAMARAHAN: Halaman Samarahan kini bersedia menjadi lokasi utama penganjuran pelbagai acara komuniti dan program berskala besar selepas Projek Naik Taraf Perkarangan Halaman Samarahan bernilai RM1.5 juta siap sepenuhnya menerusi pembiayaan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).
Majlis penyerahan siap projek itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Rubiah berkata, pembangunan Halaman Samarahan merupakan ilham Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang mahu kawasan itu dibangunkan sebagai ruang terbuka untuk kegunaan masyarakat.

Menurut beliau, hanya sebahagian kawasan berjaya dibangunkan pada peringkat awal sebelum usaha diteruskan bagi memperluaskan kawasan dan melengkapkan kemudahan yang diperlukan.
“Kejayaan beberapa penganjuran acara sebelum ini membuktikan Halaman Samarahan mempunyai potensi besar sebagai lokasi program di peringkat daerah, bahagian, negeri dan nasional. Sebab itu kerajaan terus menambah baik kemudahan di sini supaya lebih banyak program dapat dianjurkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, projek fasa pertama melibatkan kos RM1.5 juta daripada keseluruhan peruntukan RM3.8 juta yang disalurkan menerusi IRSDA dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
Menurutnya, hampir dua pertiga kawasan Halaman Samarahan kini telah diturap dengan premix selain dilengkapi sistem perparitan dan kemudahan asas bagi menyediakan ruang yang lebih selesa untuk kegunaan masyarakat.
Katanya, lokasi Halaman Samarahan yang terletak di kawasan pentadbiran Kota Samarahan serta mempunyai akses mudah melalui Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir memberi kelebihan untuk menarik lebih banyak acara berskala besar pada masa hadapan.
Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta memanfaatkan kemudahan itu bagi menganjurkan pelbagai program yang mampu merancakkan aktiviti komuniti dan ekonomi setempat.
Beliau berkata, fasa kedua pembangunan akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan tambahan seperti tandas awam, lampu, bekalan elektrik dan air, pentas serta mercu tanda bagi meningkatkan keselesaan dan daya tarikan kawasan berkenaan.

“Fasa kedua pembangunan akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan seperti tandas awam, lampu, bekalan elektrik dan air, pentas serta mercu tanda. Matlamat kita adalah menjadikan Halaman Samarahan sebagai ruang awam yang selesa untuk masyarakat beriadah dan pada masa sama mampu menjadi lokasi penganjuran acara berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Perkarangan Halaman Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan kira-kira RM500,000 turut diluluskan bagi pemasangan lampu termasuk lampu solar yang dijangka dilaksanakan tahun ini untuk menceriakan kawasan berkenaan.
Jelasnya lagi, Halaman Samarahan bukan sahaja sesuai dijadikan lokasi penganjuran acara rasmi, malah berpotensi menjadi kawasan rekreasi dan ruang aktiviti komuniti seperti sukan rakyat, perkhemahan serta pelbagai program hujung minggu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan motocross sedia ada tidak termasuk dalam pembangunan fasa pertama kerana Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mempunyai perancangan tersendiri bagi lokasi tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sebarang cadangan menaik taraf kemudahan di kawasan itu akan dipertimbangkan pada masa hadapan mengikut keperluan dan peruntukan yang tersedia.
Beliau berharap pembangunan secara berperingkat dapat melengkapkan keseluruhan Halaman Samarahan sebagai mercu tanda baharu Kota Samarahan, sekali gus menjadikannya pusat aktiviti komuniti yang moden, kondusif dan mampu menganjurkan pelbagai program berskala besar pada masa hadapan.
Oleh Norman B




