Lelaki didenda RM200 selepas mengaku bersalah terjun dari Jambatan Darul Hana

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 25 tahun didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret Kuching hari ini selepas mengaku bersalah melakukan gangguan awam dengan melompat ke Sungai Sarawak dari Jambatan Darul Hana pada bulan lalu.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 25 tahun didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret Kuching hari ini selepas mengaku bersalah melakukan gangguan awam dengan melompat ke Sungai Sarawak dari Jambatan Darul Hana pada bulan lalu.

Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching pada petang ini atas pertuduhan melakukan gangguan awam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 23 Julai lalu, kira-kira jam 10.30 malam di Jambatan Darul Hana.

Perbuatannya didakwa menyebabkan gangguan kepada orang awam yang berkemungkinan menggunakan hak awam di kawasan berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400 jika disabitkan kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video memaparkan tertuduh terjun dari Jambatan Darul Hana tular di media sosial menerusi laman Facebook “Kamek Miak Sarawak” sebelum dikongsikan semula oleh “Skodeng Media”.

Di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM200 terhadap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh telah menjelaskan bayaran denda tersebut, sekali gus mengelakkan hukuman penjara.

Oleh Adi Safarman