BEIJING: Sekumpulan penyelidik China berjaya menghasilkan peta geologi bulan edisi baharu berskala 1:5 juta, dengan bahagian utamanya berukuran sekitar 280 sentimeter panjang dan 120 sentimeter lebar.
Peta itu turut dilengkapi dua komponen yang memaparkan kawasan kutub utara dan selatan bulan, selain mengandungi maklumat lebih 13,000 kawah hentaman serta 81 lembangan hentaman yang merangkumi struktur geologi dalam 14 kategori dan 17 jenis batuan.
Pengarah Institut Geologi di bawah Akademi Sains Geologi China, Yang Zhiming berkata penerbitan peta geologi bulan edisi baharu itu menyediakan sokongan saintifik penting bagi menyokong usaha China membangunkan stesen penyelidikan bulan pada masa depan, memilih lokasi pendaratan serta meneroka angkasa lepas dengan lebih mendalam.
Beliau berkata pencapaian itu turut mencerminkan sumbangan baharu China kepada usaha masyarakat antarabangsa dalam memahami sejarah pembentukan dan evolusi Sistem Suria. – Bernama





