JOHOR BAHRU: Bermula dengan hanya satu guni kentang sehari yang mampu menghasilkan 150 pek tauhu bergedil (900 biji), pengusaha makanan tempatan TahuXTahu yang mula beroperasi pada 2017 itu kini meraih pencapaian membanggakan apabila pengeluarannya meningkat hingga 100 guni kentang sehari (15,000 pek) pada waktu puncak, bersamaan 90,000 biji.
Pengasas TahuXTahu Nur Khalisah Ismail, 33, berkata beliau tidak menyangka perniagaan tauhu bergedilnya itu mampu berkembang dengan pertumbuhan jualan yang sentiasa positif, seiring peningkatan kualiti produk.

“Alhamdulillah, perniagaan ini bukan sahaja mampu menyara pekerja, malah jualan tahunan pernah mencecah enam angka. Insya-Allah sasaran kami tahun ini adalah mencapai jualan tujuh angka dan terus mengembangkan perniagaan secara mampan,” katanya.
Nur Khalisah berkata beliau memulakan perniagaannya itu secara kecil-kecilan dengan modal sekitar RM100 selepas tamat pengajian dan menghasilkan tauhu bergedil di kedai milik ibunya sebelum mengambil keputusan membuka premis sendiri pada 2020.

“Pada masa itu tauhu bergedil sedang tular, jadi saya cuba menghasilkan sendiri dan pada peringkat awal, resipinya tidak begitu menepati cita rasa pelanggan dan banyak menerima aduan. Namun setiap komen dijadikan panduan untuk menambah baik resipi sehingga pelanggan mula mengatakan ia sedap.
“Selepas itu saya mula berani menyertai acara jualan di Angsana Mall dan sambutan daripada pelanggan Johor serta Singapura sangat menggalakkan. Apabila permintaan semakin meningkat, saya mengambil keputusan untuk bergerak sendiri dan membuka premis di sini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Bekas ejen insurans itu berkata kejayaan yang dikecapinya itu tidak dicapai dalam tempoh singkat kerana proses menghasilkan resipi tauhu bergedil yang benar-benar memenuhi cita rasa pelanggan mengambil masa hampir setahun, manakala resipi sambal kicap yang menjadi identiti TahuXTahu pula dibangunkan sendiri selama enam hingga tujuh bulan.
“Ramai yang menjual tauhu bergedil, tetapi kami mahu pelanggan dapat merasai kelainan dari segi inti dan gabungan sambal kicap. Sebab itu kami mengambil masa yang lama untuk mendapatkan rasa yang benar-benar konsisten.
“Jika ditanya kelainan dan keistimewaan tahu bergedil kami, ia terletak pada resipi rahsia yang memberikan rasa berbeza daripada kebanyakan tauhu bergedil lain selain gabungan sambal kicap pedas yang turut menjadi keunikan produk,” katanya yang mempunyai 18 orang pekerja ketika ini.

Nur Khalisah berkata kapasiti pengeluaran tauhu bergedilnya kini mencecah 50 guni kentang sehari pada hari biasa dan meningkat sehingga 100 guni sehari pada hari puncak seperti hujung minggu dan cuti umum.
Antara produk utama TahuXTahu ialah tauhu bergedil ayam, tauhu bergedil daging, popia ayam dan popia daging.
Beliau berkata apabila permintaan semakin meningkat, syarikat itu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan setiap produk dihasilkan mengikut sukatan dan piawaian yang sama walaupun jumlah pekerja bertambah.
Selain mengembangkan operasi sendiri, anak jati Johor Bahru itu berkata syarikatnya turut menyediakan platform kepada kira-kira 100 pengusaha vendor untuk memasarkan produk makanan mereka di premisnya.
Beliau berkata kebanyakan vendor terdiri daripada golongan berusia selain terdapat juga usahawan muda yang menghasilkan produk makanan sendiri tetapi berdepan kekangan untuk memasarkan hasil jualan.
Mengulas cabaran perniagaan, beliau berkata peningkatan harga bahan mentah akibat inflasi merupakan antara faktor utama yang memberi tekanan kepada operasi syarikat.

Bagaimanapun, katanya, setiap kali harga produk perlu diselaraskan, syarikat memastikan pelanggan menerima nilai tambah termasuk meningkatkan berat inti tauhu bergedil daripada 30 gram kepada 40 gram selain menggunakan pembungkusan yang lebih berkualiti.
Khalisah berkata beliau turut melaburkan kira-kira RM200,000 bagi mengubah suai premis kedua yang mula beroperasi pada Ogos 2024 bagi meningkatkan keselesaan pelanggan dan usahanya itu membuahkan hasil apabila jualan syarikat meningkat 100 peratus pada tahun pertama selepas berpindah ke premis baharu.
Dalam pada itu, katanya, syarikat tersebut kini dalam proses mendapatkan beberapa pensijilan sebagai persediaan memperluaskan pasaran ke seluruh negara sebelum menembusi pasaran antarabangsa.
“Buat masa ini keutamaan kami adalah mengukuhkan pasaran di Malaysia terlebih dahulu kerana produk kami mempunyai jangka hayat yang pendek dan memerlukan pengurusan logistik yang teliti,” katanya.- Bernama





