IPU tidak sihat di Kuching, Samarahan dan Tebedu, orang ramai disaran kurangkan aktiviti luar

Facebook
WhatsApp
SUASANA sekitar pusat bandar Kuching yang diselubungi jerebu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak terus merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching, Kota Samarahan dan Tebedu direkodkan pada tahap tidak sihat setakat 10.00 pagi hari ini.

Kuching merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu (133), diikuti Kota Samarahan (135) dan Tebedu (121), sekali gus meletakkan ketiga-tiga kawasan berkenaan dalam kategori tidak sihat.

Keadaan tersebut boleh menjejaskan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap asma, penyakit paru-paru atau jantung, khususnya apabila terdedah kepada udara luar dalam tempoh yang berpanjangan.

Berdasarkan pemantauan, kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan IPU sejak 1 Ogos 2026, dengan zarah halus PM2.5 dikenal pasti sebagai pencemar utama yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Sementara itu, sebanyak 13 kawasan lain masih berada dalam kategori sederhana dengan bacaan IPU antara 51 hingga 100, melibatkan Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Lundu, Lubok Antu, Kapit, Miri, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Limbang dan Lawas.

Hanya Bario merekodkan bacaan IPU dalam kategori baik iaitu di bawah 50.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang melibatkan pergerakan fizikal tinggi, memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di luar serta memastikan pengambilan air mencukupi.

Individu yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, sesak nafas atau kerengsaan pada mata dan tekak turut dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Orang ramai juga digesa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga sehingga keadaan kualiti udara kembali pulih.

Oleh Norman B

Sarawak anjur IDECS 2026 Oktober ini

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang kesembilan akan berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober ini di Pusat