Kemas kini: Lelaki hilang ketika cari lokan ditemui selamat

Facebook
WhatsApp
DITEMUKAN SELAMAT....Mangsa yang dikhuatiri hilang selepas dipercayai tidak pulang ketika mencari lokan di Sungai Penuai, Kampung Penuai Bruit, malam tadi, ditemukan selamat pagi ini. Foto IPD Matu Daro

DARO: Lelaki yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ketika keluar mencari lokan di Sungai Penuai, Kampung Penuai Bruit malam tadi, ditemukan selamat pagi ini.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, mangsa ditemukan pada kira-kira 8.20 pagi selepas dipercayai berjaya keluar sendiri dari kawasan berkenaan.

“Difahamkan, mangsa sendiri keluar dari lokasi beliau dipercayai hilang,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, pagi ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian akan dirujuk ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca mangsa tidak dapat keluar adalah kerana gagal mencari jalan keluar selepas berpisah dengan rakannya yang turut mencari lokan, selain faktor cuaca gelap,” katanya.

Rahim turut menasihatkan penduduk kampung supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti harian, terutama ketika berada di kawasan sungai dan memastikan pulang sebelum keadaan gelap bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Terdahulu, mangsa dilaporkan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ketika keluar mencari lokan di Sungai Penuai, Kampung Penuai Bruit, malam tadi.

Polis menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira 9.57 malam daripada ibu mangsa berusia 60 tahun.

Mangsa berusia 29 tahun itu keluar mencari lokan sekitar 6.00 pagi namun tidak pulang sehingga lewat malam, sebelum usaha mencari dilakukan oleh penduduk kampung.

Oleh Akun Giman