Letupan dalam bas mini berhampiran Damsyik ragut dua nyawa, 13 cedera

Facebook
WhatsApp
SEBUAH bas mini penumpang meletup di bandar Jaramana, berhampiran Damsyik, Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media kerajaan.

ISTANBUL: Dua terbunuh manakala 13 lagi cedera apabila satu alat letupan meletup di dalam sebuah bas mini penumpang di bandar Jaramana, berhampiran Damsyik, Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media kerajaan.

Stesen televisyen milik kerajaan Syria, al-Ekhbariya, pada mulanya melaporkan bahawa alat letupan itu meletup di dalam bas mini berkenaan, mengorbankan dan mencederakan beberapa orang, namun tidak memberikan angka korban atau butiran lanjut mengenai kejadian itu.

Agensi berita negara SANA kemudian memetik Direktorat Rujukan, Ambulans dan Kecemasan Kementerian Kesihatan sebagai mengesahkan bahawa dua orang terbunuh dan 13 lagi cedera dalam letupan itu.

Pengarah direkorat berkenaan, Najib al-Naasan, berkata pasukan forensik sedang mengendalikan sisa cebisan mayat yang ditemukan di lokasi kejadian mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata hospital dan jabatan kecemasan berhampiran diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, manakala ambulans serta pasukan perubatan digerakkan untuk membawa mangsa yang cedera ke pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan.

SANA melaporkan bahawa ambulans, pasukan forensik Kementerian Dalam Negeri, anggota Pertahanan Awam dan petugas Bulan Sabit Merah Arab Syria masih menjalankan operasi di lokasi kejadian.

Bas mini yang rosak itu dialihkan menggunakan kren bagi membolehkan pemeriksaan teknikal dijalankan dan siasatan diteruskan.

Imej dan video yang tular di media sosial menunjukkan bas mini itu mengalami kerosakan teruk dengan serpihan bertaburan di atas jalan dan di hadapan bangunan kediaman berhampiran.

Dalam kenyataan awal berhubung letupan itu, Kementerian Dalam Negeri Syria pada awal Jumaat memaklumkan bahawa pasukan keselamatan telah melancarkan siasatan terhadap apa yang disifatkannya sebagai “pengeboman jenayah” yang menyasarkan bas mini penumpang itu.

Menurut kementerian itu, pasukan keselamatan menutup kawasan berkenaan sejurus selepas letupan dan mula mengumpul bukti ketika penyiasat berusaha mengenal pasti keadaan sebenar serangan serta mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Kementerian itu berkata kejadian itu berlaku selepas beberapa sheikh dan pemimpin masyarakat di Jaramana menegaskan semula sokongan mereka terhadap negara Syria dan perpaduan nasional, selain memberi amaran terhadap sebarang cubaan mencetuskan ketegangan dan menggugat keamanan awam.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu. – Bernama