DARO: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dipercayai tidak pulang ketika mencari lokan di Sungai Penuai, Kampung Penuai Bruit, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira 9.57 malam daripada ibu mangsa, 60.

Menurutnya, mangsa, Mohammad Senawi Gammat, 29, keluar mencari lokan sekitar 6.00 pagi namun tidak pulang sehingga lewat malam.
“Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh penduduk kampung, namun sehingga kini mangsa masih gagal ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dipercayai sesat di kawasan persisir Sungai Penuai, Pulau Bruit.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daro serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daro dijadual bermula pada 8 pagi hari ini.
Sehingga berita ini ditulis, operasi SAR sedang dijalankan bagi mengesan lokasi mangsa.
Oleh Akun Giman




