KUCHING: Bank Simpanan Nasional (BSN) Negeri Sarawak terus memperkukuh hubungan strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menerusi kunjungan hormat bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam pembangunan pendidikan di negeri ini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah BSN Negeri Sarawak, Ahmad Fadillah Haris dan disambut oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.
Pertemuan itu membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai inisiatif bagi menyokong agenda pembangunan pendidikan Sarawak, termasuk penyediaan kemudahan dan manfaat kepada warga pendidik.


PERBINCANGAN STRATEGIK… Pengarah BSN Negeri Sarawak, Ahmad Fadillah Haris (kiri), mengadakan perbincangan bersama Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli mengenai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan di Sarawak. Foto Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka peluang kerjasama dalam membantu sekolah di seluruh Sarawak menerusi program pembangunan pendidikan serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurut kenyataan, kolaborasi strategik itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, progresif dan mampan, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 hingga 2035.
Kerjasama tersebut diharap dapat menggalakkan penglibatan lebih aktif rakan strategik dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta kesejahteraan komuniti sekolah di negeri ini.
Oleh Shikin Mahmud




