Mesyuarat LAKIS Saratok fokus pembangunan masjid, surau dan sambutan Maulidur Rasul

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri semasa hadir ke Mesyuarat LAKIS yang telah dipengerusikan oleh Datuk Abdul Wahab Aziz di Bilik Mesyuarat LAKIS, dekat sini semalam. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS) terus komited dalam merancang pembangunan syiar Islam serta infrastruktur keagamaan demi kesejahteraan masyarakat Islam di kawasan daerah ini.

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelbagai perancangan dan usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan asas umat Islam sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

​Beliau berkata demikian semasa hadir ke Mesyuarat Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS) yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat LAKIS, dekat sini semalam.

​Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi LAKIS, Datuk Abdul Wahab Aziz itu membincangkan beberapa agenda penting berkaitan pengurusan serta aktiviti kebajikan masyarakat setempat.

​Antara fokus utama yang dibincangkan termasuklah persiapan awal bagi penganjuran sambutan program perayaan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok 1448H/2026M agar dapat dijalankan dengan penuh meriah dan lancar.

​Turut dibincangkan secara terperinci adalah mengenai kemajuan projek pembinaan menara masjid, kawasan parkir dan pembinaan stor di Masjid Al-Muhtadin Saratok bagi menampung keperluan jemaah yang kian meningkat.

​Selain itu, mesyuarat berkenaan turut memberi perhatian terhadap perancangan naik taraf serta bina baharu beberapa masjid dan surau di seluruh kawasan DUN Kalaka demi keselesaan penduduk kampung.

​Usaha penambahbaikan infrastruktur keagamaan ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan di peringkat akar umbi.

​Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah Pemanca Sahari Gani yang juga Setiausaha LAKIS Saratok, serta barisan Ahli Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok.

Oleh Adi Safarman