MMMLL, SSLR2 lonjak kesalinghubungan dan pembangunan utara Sarawak

Facebook
WhatsApp
KELUARGA BERJAYA...Ripin menyampaikan anugerah keluarga berjaya pada majlis perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Kampung Nauran Limbang.

LIMBANG: Projek Jalan Miri–Marudi, Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai–Long Lama (MMMLL) merupakan antara inisiatif strategik kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan di bahagian utara negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses ke kawasan pedalaman, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan.

“Lebih penting, projek MMMLL akan dihubungkan dengan Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah Fasa 2 (SSLR2) yang sedang dilaksanakan, sekali gus mewujudkan rangkaian jalan darat yang lebih menyeluruh dari Miri ke Limbang dan Lawas,” katanya.

GIMIK PERASMIAN…Ripin bersama Hasbi dan Dr Abdul Rahman menampi beras sebagai simbolik perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Kampung Nauran Limbang.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat pada majlis perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Kampung Nauran, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya akan terus memastikan setiap komuniti, termasuk masyarakat Kedayan, diberi ruang serta sokongan untuk memelihara identiti dan warisan masing-masing.

Menurutnya, Pesta Makan Tahun bukan sekadar perayaan tradisi, malah melambangkan warisan sejarah, nilai kekeluargaan dan semangat kemasyarakatan yang wajar terus dipelihara.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan setiap kaum, sama ada besar atau kecil bilangannya, diberikan ruang dan sokongan untuk memelihara identiti budaya masing-masing.

“Kita tidak mahu ada mana-mana komuniti berasa terpinggir dalam arus pembangunan negeri. Sebaliknya, kita mahu setiap rakyat Sarawak merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada perjalanan pembangunan negeri ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta tetamu kenamaan lain.

Pesta Makan Tahun disambut sebagai tanda kesyukuran selepas berakhirnya musim menuai padi. Perayaan itu menjadi medan untuk masyarakat berkumpul, berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga dan jiran tetangga.

Oleh Adeng Edrus