TATAU: Penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan beberapa buah rumah panjang di daerah ini turut mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.
Pegawai dari Pusat Khidmat berkenaan, Eugene John Sikie berkata, sumbangan barang makanan itu untuk meringankan beban penduduk di rumah panjang berkenaan berikutan pelaksanaan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) di kawasan tersebut.
“Dalam tempoh tersebut penduduk tidak dapat membeli barang makanan di pekan dan juga mereka tidak dapat pergi ke kebun,” katanya ketika dihubungi berhubung pengagihan bantuan makanan tersebut di sini, semalam.
Menurutnya, bantuan tersebut adalah untuk penduduk Rumah Jeli anak Gaun, Muput, Rumah Barat, Anap dan Rumah Salleh, Nanga Tau, Tatau.
“Penyampaian bantuan makanan kering kepada penduduk Rumah Jeli iaitu 16 pintu, Rumah Barat 8 pintu dan Rumah Salleh 23 pintu,” ujarnya.
Beliau melahirkan harapan agar bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka yang terjejas.
Oleh ELLIE EDWARD