KUCHING: Ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke tadika atau taska mesti mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bertujuan agar sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dapat menghantar amaran awal kawasan titik panas Covid-19.
“Dengan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera, pihak berkuasa dapat memberitahu ibu bapa atau penjaga jika mereka berada dalam jarak 15 kilometer dari titik panas Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Pemantauan Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di tiga buah lokasi Institusi Pendidikan AwaI Kanak-kanak (IPAKK) Kuching, Isnin lepas.
Tambahnya, dengan pemberitahuan seperti ini, ibu bapa dapat terus berjaga-jaga dan mengelakkan diri dari pergi ke tempat-tempat titik panas tersebut dan seterusnya, menurunkan risiko jangkitan kepada anak-anak serta pengusaha pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan tadika.
“Selain itu, penggunaan aplikasi MySejahtera juga akan mempercepatkan proses pendaftaran dan juga mempermudahkan pencarian kenalan sekiranya ada kes positif Covid-19,” jelasnya lagi.
Pihaknya juga mahu ibu bapa atau penjaga patuh kepada SOP yang telah ditetapkan agar penularan Covid-19 dapat diputuskan.
“Kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk memutuskan penularan Covid-19, ia tidak hanya terletak di atas bahu pengendali tadika atau taska sahaja,” katanya.
Setakat ini, hanya 184 tadika dan taska yang dibenarkan operasi bermula 17 Mei.
Sehubungan itu, sekiranya pengendali tadika atau taska yang ingin memulakan operasi mereka semula, permohonan boleh dibuat melalui Urus Setia Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak (http://bit.ly/maklumatipakk).
Oleh NUR AIN OTSMAN