SJA santuni Johnny Bilun di Hospital Sibu

Facebook
WhatsApp
SANTUNI... Florence menyampaikan sumbangan daripada pihak persatuan kepada Johnny dan keluarganya. Turut kelihatan Andy (kanan) dan Akun (dua kanan).

SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) menziarahi juruvideo RTM, Johnny Bilun, yang kini menerima rawatan di Hospital Sibu selepas mengalami masalah penyempitan saluran jantung.

Johnny, yang juga ahli SJA, merupakan antara pengamal media yang sentiasa berdedikasi dan aktif melaksanakan pelbagai tugasan di lapangan.

Beliau dikenali sebagai rakan sekerja yang mesra, komited serta sentiasa memberi kerjasama dalam menjalankan tugas kewartawanan.

Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi SJA, Florence Nervyn, turut menyampaikan sumbangan daripada pihak persatuan kepada Johnny dan keluarganya sebagai tanda sokongan serta keprihatinan warga SJA terhadap ujian yang dihadapinya.

“Kami mendoakan agar Johnny segera diberikan kesembuhan, terus tabah menghadapi dugaan dan kembali bertugas seperti biasa. Ramai yang merindui senyuman serta gurauan beliau.

“Dunia kewartawanan masih memerlukan insan yang berdedikasi seperti Johnny,” katanya.

Turut hadir Timbalan Setiausaha SJA, Andy Sabang dan Ahli Jawatankuasa SJA, Akun Giman.

Oleh Akun Giman