KUCHING: Pengusaha bas, lori serta pemain industri pengangkutan darat disaran membentuk konsortium bagi menyertai pembangunan, pengurusan dan pengoperasian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP).
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata penglibatan pemain industri berkenaan amat penting kerana mereka merupakan pengguna utama kemudahan tersebut serta lebih memahami keperluan operasi pemandu, pengguna jalan raya dan pengendali kenderaan perdagangan.
Menurut beliau, pendekatan PPP mampu memastikan pembangunan R&R dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap serta mempunyai kelestarian komersial, di samping menyediakan perkhidmatan berkualiti, meningkatkan keselamatan jalan raya dan membuka peluang perniagaan baharu dalam sektor pengangkutan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog dan libat urus Kementerian Pengangkutan (MOTS) berkaitan perancangan serta penambahbaikan R&R dan hentian rehat di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo di Kuching, semalam.
Sesi berkenaan menghimpunkan wakil MOTS, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak serta persatuan yang mewakili pengusaha bas, lori dan pihak berkepentingan dalam industri pengangkutan darat.
Dialog itu menjadi platform kepada pemain industri untuk berkongsi pandangan serta pengalaman operasi dalam usaha mempertingkat kemudahan tepi jalan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk cadangan lokasi baharu R&R dan hentian rehat, selain kemudahan sokongan seperti stesen minyak, bengkel penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan, farmasi, premis makanan dan minuman, tandas bersih, ruang parkir mencukupi untuk kenderaan berat serta kemudahan asas lain.
Dato Sri Lee berkata, Lebuh Raya Pan Borneo merupakan laluan pengangkutan penting bagi Sarawak dan pembangunan R&R perlu dirancang secara strategik dengan menyediakan kemudahan yang memenuhi keperluan semua pengguna jalan raya.
“Kawasan Rehat dan Rawat yang dirancang dengan baik bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi merupakan komponen penting dalam rangkaian pengangkutan jalan raya yang selamat, cekap dan boleh dipercayai.
“Melalui kerjasama pemain industri, kita dapat memastikan kemudahan ini dibangunkan dengan pendekatan yang memberi manfaat kepada pengguna jalan raya serta sektor pengangkutan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan wakil industri yang memberikan pandangan serta maklum balas sepanjang sesi libat urus berkenaan.
Semua cadangan yang diterima akan dikumpulkan dan dinilai oleh JKR Sarawak sebelum cadangan pembangunan R&R serta hentian rehat baharu di lokasi strategik sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo disediakan.
MOTS berkata, kementerian itu kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan Sarawak, meningkatkan keselamatan jalan raya serta menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pengguna.
Oleh Afiq Sallehi




