Sarawak mahu lahirkan saintis masa depan, Pusat Sains jadi pencetus bakat baharu – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika ditemuramah pemberita berkenaan peranan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) dalam melahirkan generasi saintis masa depan di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Penubuhan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) bertujuan mencetuskan minat generasi muda terhadap bidang sains, sekali gus melahirkan lebih ramai saintis tempatan yang mampu meneroka teknologi dan penyelidikan baharu pada masa hadapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu perlu bermula dengan memupuk kesedaran mengenai kepentingan sains dalam kehidupan seharian sebelum menyemai sifat ingin tahu dan kreativiti dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, golongan itu perlu didedahkan kepada pelbagai cabang sains termasuk kecerdasan buatan (AI), biologi, biodiversiti, teknologi hidrogen serta pengurusan sumber air supaya mereka berupaya meneroka bidang baharu yang mampu memberi manfaat kepada negeri.

“Pusat Sains ini diwujudkan untuk mencetuskan sifat ingin tahu dalam kalangan generasi muda tentang bagaimana dunia berfungsi, daripada zaman dinosaur hinggalah kepada teknologi hidrogen, kecerdasan buatan dan penjanaan tenaga hidro.

“Apabila mereka melihat sendiri proses-proses ini, mereka akan terdorong untuk belajar, mengkaji dan memanfaatkan teknologi seperti AI bagi memperoleh lebih banyak pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Sains Sarawak di Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kekayaan biodiversiti Borneo yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia turut membuka peluang luas kepada penyelidikan dalam pelbagai bidang, termasuk sumber semula jadi, tumbuhan dan perubahan iklim.

Menurut beliau, pusat berkenaan turut menyediakan makmal interaktif yang membolehkan pelajar menjalankan eksperimen secara praktikal, manakala guru dapat menghubungkan teori yang dipelajari di bilik darjah dengan aplikasi sebenar.

“Guru boleh membawa pelajar ke sini untuk melihat sendiri bagaimana sesuatu proses sains berlaku. Pembelajaran menjadi lebih menarik apabila mereka dapat melihat, mencuba dan memahami sendiri konsep yang dipelajari,” katanya.

Tambah beliau, Pusat Sains Sarawak turut dilengkapi kemudahan asrama bagi membolehkan pelajar dari kawasan luar bandar mengikuti program pembelajaran serta pelbagai aktiviti yang disediakan.

Katanya, kemudahan itu memastikan peluang untuk meneroka dunia sains tidak hanya tertumpu kepada pelajar di bandar, sebaliknya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh anak-anak Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Sains Sarawak akan terus diperkasakan menerusi kerjasama dengan pusat sains dan institusi pengajian tinggi antarabangsa, termasuk di Singapura dan Finland, bagi memastikan kandungan pameran serta teknologi yang dipaparkan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Pusat Sains ini bukan hanya untuk Sarawak atau Malaysia, sebaliknya menjadi platform kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian kepada cabaran masa depan menerusi sains dan teknologi,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi 

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos