SUASANA malam di perkampungan Sarawak sentiasa bertukar meriah apabila paluan gendang dan bait-bait pantun mula bergema merentasi keheningan malam.
Seni bermukun yang juga dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai tradisi bergendang kekal sebagai antara khazanah warisan lisan yang paling berharga bagi masyarakat Melayu Sarawak.
Kesenian ini bukan sekadar persembahan hiburan, malah mencerminkan kehalusan budi, ketajaman fikiran dan kekayaan tradisi berbahasa yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya negeri ini.
Dalam era pemodenan yang serba pantas, bermukun terus menjadi cerminan jati diri masyarakat Melayu Sarawak yang menghargai warisan nenek moyang sambil menyesuaikan tradisi tersebut dengan perubahan zaman.

Secara asasnya, bermukun merupakan satu seni persembahan teras yang menggabungkan tiga komponen utama dalam satu masa, iaitu nyanyian pantun secara spontan, paluan gendang yang bertenaga serta tarian tradisional yang dikenali sebagai bertandak.
Berdasarkan kajian ilmiah oleh Nik Mat Pelet dan rakan-rakan pada 2024 yang diterbitkan dalam Jurnal bertajuk Bermukun dalam Tradisi Masyarakat Sarawak, keunikan dan kekuatan bermukun sebenarnya terletak pada kebolehan luar biasa penggiatnya menyampaikan pantun secara spontan.
Kebolehan ini memperlihatkan keunikan pantun tersebut disulam indah dengan pelbagai kiasan menggunakan aksen tempatan serta laras bahasa Melayu Sarawak yang cukup kaya dengan seni estetika.

Keharmonian persembahan bermukun ini digerakkan oleh watak-watak penting yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Struktur asasnya dipimpin oleh dua seh gendang, iaitu golongan wanita yang biasanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman atau veteran.
Mereka duduk bersembunyi di sebalik tirai tabir sambil memukul gendang dengan rentak yang konsisten dan melantunkan bait-bait pantun menggunakan suara yang nyaring, merdu serta berpuitis.
Watak seterusnya ialah penandak, iaitu golongan lelaki yang berada di hadapan tirai tabir untuk menari mengikut rentak sambil membalas pantun.

Di panggung bermukun inilah kecekapan langkah tarian dan ketajaman fikiran lelaki diuji secara nyata.
Hal ini kerana mereka perlu memikirkan jawapan pantun yang tepat, bernas dan melucukan dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Di samping itu, keunikan seni bermukun ini turut terserlah menerusi etiket persembahan serta falsafah di sebalik namanya.
Gabungan interaksi antara seh gendang dan penandak dipandu oleh tradisi berbalas pantun secara spontan menerusi konsep jual dan beli.
Dalam konsep ini, satu pihak akan menjual pantun yang sarat dengan soalan, teka-teki mahupun usikan berkias, manakala pihak lawan memikul tanggungjawab untuk membeli atau membalasnya secara serta-merta dengan pembayang dan maksud yang relevan.

Praktis jual beli pantun membuktikan bahawa seni bermukun sejak awal lagi dibina atas dasar persahabatan, kehalusan budi dan penghormatan yang tinggi.
Dari sudut sejarah dan fungsi sosiobudaya, bermukun pernah memainkan peranan asas sebagai platform komunikasi dan interaksi sosial masyarakat Melayu di Sarawak pada era silam.
Pada zaman dahulu, struktur kemasyarakatan mengamalkan tatasusila yang dianggap sebagai adat kampung yang amat ketat.
Misalnya, pergaulan antara anak muda lelaki dan perempuan dikawal ketat berdasarkan norma masyarakat Melayu yang menitikberatkan nilai maruah diri dan batas pergaulan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam kekangan norma sosial yang penuh disiplin tersebut, persembahan bermukun hadir sebagai satu ruang yang selamat, direstui dan memiliki nilai kesopanan yang sangat tinggi.

Ruang ini bertujuan untuk anak-anak muda saling mengenali dan berinteraksi sehingga ke fasa perkenalan yang seterusnya.
Gambaran tentang kehidupan sosial masyarakat ini turut dirakam dalam penceritaan sejarah awal seperti yang terdapat dalam novel Melati Sarawak karya Muhammad Rakawi Yusuf pada 1932.
Novel tersebut menggambarkan fenomena menopeng, iaitu amalan anak muda lelaki yang memakai topeng atau menutup muka mereka semasa bertandak di hadapan tirai tabir.
Pada zaman dahulu juga terdapat amalan menopeng, iaitu salah satu tradisi yang pernah mengiringi persembahan bermukun.
Amalan menopeng ini bertujuan untuk menyembunyikan identiti mereka daripada pengetahuan umum atau ibu bapa yang memerhati di sekeliling panggung.
Melalui ruang berbalas pantun di sebalik topeng inilah, anak-anak muda menguji kecerdasan minda, meluahkan perasaan kasih dan rindu secara berkias dan akhirnya tradisi bermukun ini menjadi titik permulaan kepada ikatan jodoh yang direstui oleh kedua-dua belah keluarga.
Memasuki era moden kini, peranan dan kebiasaan fungsi bermukun telah mengalami evolusi yang sangat positif.
Jika dahulu bermukun lebih merujuk adat perkahwinan tradisional dan pertemuan mencari jodoh di kampung-kampung, namun kini seni bermukun diangkat secara meluas sebagai pengisian utama dalam pelbagai majlis keramaian dan acara rasmi.
Bermukun kini sering disajikan di majlis perkahwinan moden, majlis kesenian, majlis sambutan tetamu kehormat (VIP), persidangan peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Transformasi penataan ruang ini membuktikan bahawa seni bermukun telah mengalami evolusi daripada sekadar adat sosial tempatan kepada satu persembahan seni warisan berprestij tinggi yang mempamerkan keunikan identiti masyarakat Sarawak kepada khalayak luar.
Tambahan pula, dalam landskap persembahan bermukun moden mahupun persembahan pentas hari ini, terdapat penggesek biola yang memainkan peranan penting untuk menghidupkan lagi suasana bermukun.
Gesekan biola yang menyelit di antara paluan gendang memperkaya lagi rentak muzik serta menjadi penanda irama yang memandu tempo tarian para penandak.
Gabungan irama gesekan biola Barat yang diserap ke dalam seni tradisi Melayu ini memperlihatkan keupayaan seni bermukun untuk berasimilasi dengan instrumen lain tanpa menjejaskan identiti asalnya.
Selain menjadi medan interaksi sosial dan pengisian majlis keramaian, seni bermukun turut menjadi wadah utama untuk menzahirkan keindahan dan keunikan Pantun Melayu Sarawak.
Kebolehan seh gendang dan penandak menyusun bait-bait pantun secara spontan tanpa berpandukan skrip mencerminkan kearifan tempatan, penguasaan bahasa serta daya kreativiti yang tinggi.
Dari sudut kebahasaan, pantun bermukun sarat dengan falsafah hidup masyarakat Melayu yang berkaitan dengan alam, adab bertamu dan hubungan sesama manusia.
Dapatan ini disokong oleh analisis struktur bahasa yang dijalankan oleh Hamsiah Juki dalam Jurnal bertajuk Aspek Bahasa dan Falsafah dalam Mukun Melayu Sarawak pada 2018 tentang bait-bait pantun bermukun.
Kajian tersebut mendapati bahawa penggunaan kata nama mencatatkan peratusan tertinggi dalam binaan pantun iaitu sebanyak 38.5 peratus, manakala kata kerja pula menyumbang sebanyak 33.2 peratus.
Dominasi kosa kata berbentuk kata nama dan kata kerja ini membuktikan bahawa pantun bermukun bersifat konkrit.
Hal ini menunjukkan bahawa pemantun memanfaatkan objek alam sekitar, peralatan kegunaan harian dan aktiviti harian masyarakat sebagai perlambangan serta kiasan untuk menyampaikan mesej ikhtibar dan pengajaran moral secara berhemah.
Seterusnya, usaha untuk menyuntik semangat baharu kepada seni bermukun terus diperkasakan menerusi saluran penyiaran moden dan pemanfaatan media digital.
Misalnya, terdapat agensi penyiaran seperti Radio Televisyen Malaysia menerusi rancangan Juh Bermukun di SARAWAKfm pada setiap hari Sabtu.
Bukan itu sahaja, terdapat program kolaborasi serantau Bermukun Se-Borneo yang menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan yang telah berjaya membawa irama bermukun ke peringkat antarabangsa.
Begitu juga dengan penerbitan dokumentasi visual berkualiti tinggi seperti Masters of the Rainforest Ep 2: The Art of Bermukun oleh saluran TVS Entertainment pada 2025 yang memaparkan seni pembuatan gendang dan keindahan persembahan ini kepada khalayak penonton generasi baharu yang lebih luas.
Walaupun seni bermukun sinonim dengan masyarakat Melayu Sarawak, kesenian ini telah diasimilasikan sejak sekian lama dalam kehidupan masyarakat Melanau, terutamanya kaum Melanau yang memeluk agama Islam.
Proses asimilasi tersebut berlaku hasil hubungan yang erat dan perkongsian budaya antara kedua-dua masyarakat sehingga bermukun bukan sahaja diterima sebagai hiburan, malah menjadi sebahagian daripada adat dan amalan dalam pelbagai majlis keramaian.
Keadaan ini membuktikan bahawa seni bermukun telah berkembang sebagai warisan budaya bersama yang terus diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain di Sarawak.
Kelangsungan seni bermukun ini dapat dilihat melalui penganjuran pertandingan bermukun sempena Pesta Daro 2026 baru-baru ini.
Penganjuran acara tahunan sebegini menyediakan ruang pentas yang amat bermakna untuk menghimpunkan semula penggiat veteran serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat Melanau dari pelbagai kawasan pesisir seperti di kawasan Matu-Daro, Dalat, Mukah, Bintulu dan Miri.
Inisiatif seperti ini penting bagi memastikan seni lisan yang menjadi identiti masyarakat pesisir Sarawak terus dipelihara, diperkasakan dan kekal relevan dalam arus perubahan zaman.
Tambahan pula, kehadiran penonton dari pelbagai lapisan umur dan tempat untuk menyaksikan pertandingan ini membuktikan bahawa seni bermukun sentiasa mendapat tempat di hati rakyat tempatan dan masyarakat luar.
Kesimpulannya, seni bermukun merupakan khazanah budaya yang merakam sejarah, bahasa, nilai dan identiti masyarakat Melayu di Sarawak yang wajar terus dipelihara.
Keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan keaslian tradisi membuktikan bahawa warisan ini masih relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Malah, proses asimilasi budaya yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melanau turut memperlihatkan bahawa seni bermukun berupaya menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara komuniti kaum yang berbeza.
Oleh itu, usaha mendokumentasikan, memperkenalkan dan memartabatkan seni bermukun melalui penyelidikan, pendidikan serta penganjuran program kebudayaan perlu diteruskan secara bersepadu.
Selagi irama gendang terus bergema, pantun terus dilafazkan dan generasi muda terus menghargai nilai yang terkandung di dalamnya, selagi itulah semarak bermukun akan terus mewarnai landskap warisan budaya Sarawak sebagai khazanah yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Oleh Firsya Umaira Othman





