KUCHING: Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Mambong-Sikog-Sariq berhampiran Penjara Puncak Borneo petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 6.15 petang, manakala pihak polis menerima laporan pada 6.27 petang.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan manakala motosikalnya tercampak ke bahu jalan sebelah kiri.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Siasatan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.Pemandu pacuan empat roda berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Barry berkata, siasatan mendapati punca kemalangan adalah kerana penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan.
Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk pemeriksaan oleh Puspakom dan Jabatan Kimia, manakala polis turut merakam percakapan pemandu serta seorang saksi bebas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Connie Chieng





