TOKYO: Satu letupan berlaku di sebuah pusat beli-belah utama di Pekan Kashima, Wilayah Kumamoto hari ini, menyebabkan beberapa individu terperangkap dan cedera, lapor Xinhua memetik penyiar awam NHK.
Menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun, maklumat yang diterima daripada jabatan bomba tempatan menunjukkan sebahagian tingkat dua Aeon Mall Kumamoto runtuh, dengan ramai individu dipercayai masih terperangkap di dalam bangunan itu.
Anggota bomba sedang menilai keadaan dan menjalankan operasi menyelamat, menurut laporan itu.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital, namun jumlah serta tahap kecederaan mereka masih belum didedahkan.
Pihak polis dan bomba berkata mereka menerima beberapa panggilan kecemasan kira-kira 6 petang waktu tempatan yang melaporkan bunyi letupan serta kepulan asap putih keluar dari Aeon Mall Kumamoto.
Rakaman udara yang diambil oleh helikopter NHK kira-kira 6.20 petang menunjukkan kerosakan teruk pada struktur bangunan. Sebahagian dinding luar bangunan tertanggal sehingga mendedahkan rangka keluli, manakala sebahagian bumbung dipercayai runtuh. Satu lubang besar turut kelihatan pada bahagian bumbung.
Letupan itu berlaku selepas gempa bumi berukuran 7.1 melanda Wilayah Kumamoto pada awal hari yang sama. Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Pekan Kashima dipercayai mengalami gegaran sekurang-kurangnya pada intensiti 5 bawah mengikut skala intensiti seismik Jepun, namun tahap sebenar masih belum disahkan.
Punca letupan itu masih dalam siasatan.- Bernama-Xinhua





