Belgium catat angka kematian tertinggi di EU susulan cuaca panas luar biasa pada Jun

Facebook
WhatsApp
SUHU MELAMPAU... Kepadatan pembangunan bandar dan kekurangan kawasan hijau dipercayai antara faktor Belgium merekodkan kadar lebihan kematian tertinggi susulan cuaca panas luar biasa pada Jun.

MOSCOW: Belgium paling teruk terjejas akibat gelombang haba pada Jun berbanding negara Eropah lain, dengan kadar kematian di negara itu 48 peratus lebih tinggi daripada biasa, menurut akhbar Nieuwsblad yang memetik rangkaian pemantauan kematian Eropah EuroMOMO, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Beberapa minggu lepas, institut kesihatan awam Belgium, Sciensano memaklumkan bahawa pada akhir Jun, sebanyak 1,747 lebihan kematian direkodkan di negara itu, menurut laporan pada Isnin.

CUACA PANAS… Belgium mencatat kadar lebihan kematian tertinggi dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) yang dipantau susulan gelombang haba luar biasa pada Jun.

Kini, susulan penerbitan data dari negara Eropah lain, Belgium mencatatkan kadar lebihan kematian tertinggi dalam kalangan 27 negara yang dipantau EuroMOMO, menurut laporan itu.

Sebagai perbandingan, kadar kematian semasa gelombang haba di Perancis dilaporkan meningkat 23 peratus dan di Belanda sebanyak 13 peratus, meskipun mencatatkan suhu yang hampir sama.

Geert Molenberghs, pakar biostatistik di KU Leuven dan Universiti Hasselt menjelaskan bahawa kepadatan bangunan yang tinggi dan kekurangan kawasan hijau menyebabkan bandar-bandar di Belgium lebih terdedah kepada cuaca panas, menurut laporan itu.- Bernama-Sputnik/RIA Novosti