“Saya tidak keberatan tinggal di sini apabila sudah tua” – Abang Johari kagum fasiliti di Wisma Elica

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN gambar kenangan bersama tetamu kehormat sempena perasmian pembukaan Wisma Elica di Voco Kuching. Foto Masrin Affirah

KUCHING: Sarawak kini mempunyai kemudahan penjagaan warga emas bertaraf tinggi menerusi pembukaan Care Collective di Wisma Elica, Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau kagum selepas meninjau sendiri fasiliti berkenaan, malah menyatakan tidak keberatan untuk tinggal di salah sebuah bilik di situ apabila sudah tua kelak.

PREMIER Sarawak berucap merasmikan pembukaan Wisma Elica di Voco Kuching. Foto Masrin Affirah

“Saya mesti katakan saya sangat kagum selepas melawat bangunan ini sebentar tadi. Saya sendiri tidak keberatan untuk tinggal di salah sebuah bilik di sini apabila saya sudah tua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Wisma Elica di Voco Kuching, hari ini.

Tambah beliau, kewujudan fasiliti berkenaan menunjukkan Sarawak kini mempunyai kemudahan yang mampu menyediakan penjagaan berkualiti kepada golongan warga emas.

“Saya rasa Dato Sri Nancy Shukri serta Dato Sri Fatimah Abdullah juga sangat gembira kerana Sarawak kini memiliki fasiliti penjagaan warga emas yang berkualiti.

SIMBOLIK perasmian pembukaan Wisma Elica disempurnakan oleh Premier Sarawak di Voco Kuching. Foto Masrin Affirah

“Pembangunan seperti Wisma Elica ini mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap masa depan Sarawak serta usaha mentransformasikan bangunan sedia ada kepada kemudahan baharu yang memberi nilai tambah kepada negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa selain kemudahan hospitaliti, Sarawak juga sedang membangunkan infrastruktur kesihatan bertaraf tinggi termasuk beberapa hospital baharu serta pengembangan kemudahan sedia ada.

“Apabila pesakit datang ke sini untuk rawatan, mereka sering membawa keluarga.

“Mereka juga memerlukan pusat penjagaan selepas rawatan dan penginapan yang selesa seperti ini dan ini akan menggalakkan mereka tinggal lebih lama di Sarawak,”

“Kemudahan berkualiti seperti ini juga penting dalam menarik lebih ramai pelawat dari luar negara untuk memilih Sarawak sebagai destinasi bukan sahaja untuk melancong, tetapi juga mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan penjagaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kemudahan sokongan seperti pengangkutan awam moden menerusi Transit Aliran Automasi (ART), hubungan udara melalui AirBorneo serta fasiliti hospitaliti dan penjagaan akan membentuk ekosistem lengkap untuk pelancongan dan industri perkhidmatan negeri.

Untuk rekod, Care Collective merupakan komuniti persaraan bersepadu terbesar di Sarawak yang dibangunkan di Wisma Elica menerusi kerjasama Elica Equity Sdn Bhd dan Care Concierge.

PREMIER Sarawak (tengah) menyaksikan penyampaian tanda penghargaan sempena perasmian pembukaan Wisma Elica dari Pengarah Urusan Elica Equity Sdn. Bhd. Dato Bobby Ting Sie Ching (dua dari kiri) kepada Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan, Asia Timur & Pasifik, IHG Hotels & Resorts, Rajit Sukumaran (dua dari kanan). Foto Masrin Affirah

Pusat itu menawarkan tiga pakej utama iaitu Retirement Suites bermula RM7,000 sebulan, The Clubhouse (Daycare)bermula RM2,500 sebulan dan Assisted Living bermula RM8,500 sebulan mengikut keperluan penghuni.

Ia menyediakan lebih 90 bilik yang direka khas untuk warga emas dengan ciri keselamatan seperti sistem panggilan kecemasan, lantai anti-gelincir dan pemegang sokongan, selain dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang aktiviti, bilik permainan, lounge, rehabilitasi, fisioterapi, farmasi serta perkhidmatan kesihatan lain.

Care Collective dibangunkan dalam Wisma Elica yang turut menempatkan Voco Kuching, hotel pertama jenama voco oleh IHG Hotels & Resorts di Malaysia.

Bangunan tersebut merupakan hasil transformasi sebuah hotel lama yang diberi wajah baharu melalui kerja pengubahsuaian, sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan lama dan warisan agar terus relevan serta menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan dan perkhidmatan negeri.

Oleh Masrin Affirah