KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu lebih banyak bangunan lama di Kuching dipulih dan diberi nafas baharu dengan mengekalkan struktur serta nilai warisan bangunan berkenaan.
Beliau berkata, bangunan yang telah uzur tidak semestinya dibina semula, sebaliknya boleh dibaik pulih dan diubah suai mengikut keperluan semasa tanpa menjejaskan identiti asalnya.
“Kita ada bangunan warisan, tetapi kalau bangunan itu sudah uzur, kita tidak buat baharu, kita membaik pulih dan naik taraf.
“Sebab itu saya kata tadi, hotel Voco lima bintang ini dulu juga telah diubah suai dengan reka bentuk baharu. Banyak lagi bangunan yang boleh dibuat macam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Wisma Elica di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara bangunan yang telah dikenal pasti ialah bangunan Pejabat Pos Lama di hadapan Plaza Merdeka yang sedang dirundingkan untuk diambil alih daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita ada dalam perancangan. Apabila rundingan selesai, bangunan pejabat pos itu boleh direnovasi. Tetapi kita perlu mengekalkan nilai warisan dan bangunan asalnya.
“Selain bangunan Pejabat Pos Lama, beberapa bangunan di Jalan Haji Taha termasuk Darul Kurnia serta dua bangunan di Jalan Ban Hock turut mempunyai potensi untuk dipulihkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan kerja pengubahsuaian bagi bangunan berkenaan bergantung kepada pemilik bangunan masing-masing.
“Terpulang kepada pemilik untuk mereka bentuk semula bangunan itu bagi fungsi tertentu, tetapi struktur teras bangunan warisan tidak boleh diubah.
“Bagi bangunan kerajaan seperti Pejabat Pos Lama, kerajaan Sarawak sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih bangunan tersebut sebelum kerja pemulihan dapat dilaksanakan.
“Pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu kerana bangunan warisan di negara lain turut diberi fungsi baharu selepas dipulihkan seperti bangunan bekas pejabat pos di Singapura yang kini menjadi sebuah Hotel serta Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur yang terus dikekalkan sebagai bangunan warisan,” ujarnya.
Dalam ucapannya pada majlis sama, Abang Johari berkata terdapat banyak bangunan lama di Sarawak yang boleh ditransformasikan seperti yang dilakukan terhadap Wisma Elica yang kini diberi wajah baharu melalui kerja pengubahsuaian dan pemulihan.
Tegasnya, usaha menghidupkan semula bangunan lama bukan sahaja dapat mengekalkan nilai warisan, malah mampu mewujudkan tarikan baharu yang menyokong pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pelancongan negeri.
Oleh Masrin Affirah





