KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kini giat membuat persiapan bagi menganjurkan Festival Eksplorasi Padawan (Padawan Discovery Festival – PDF) 2026 yang julung kali diadakan dari 2 hingga 6 Oktober ini.
Festival berkenaan akan menampilkan pelbagai aktiviti pelancongan, kebudayaan, sukan dan perniagaan dalam usaha mempromosikan Padawan sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak.

Ketika ditemui Utusan Sarawak, Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, festival selama lima hari itu dirancang sebagai acara tahunan berprestij MPP yang menghimpunkan tarikan pelancongan, warisan budaya, keusahawanan dan semangat komuniti terbaik di Padawan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa festival kali ini akan menampilkan pelbagai pembaharuan dan kelainan yang lebih menarik.
“Festival Eksplorasi Padawan menjadi platform untuk mengetengahkan kekuatan Padawan dalam bidang pelancongan, budaya, keusahawanan dan pembangunan komuniti, di samping memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Festival itu akan membuka tirai pada 2 Oktober di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawah, menerusi Pameran Perdagangan Sarawak yang menghimpunkan lebih 60 pempamer terdiri daripada usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat ternama serta jenama antarabangsa.
Antara tarikan utama lain ialah program Festival Eksplorasi Padawan yang berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober, menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menerokai Kampung Sapit, Kampung Annah Rais, Kampung Kiding dan Empangan Bengoh melalui program inap desa, denai alam semula jadi serta aktiviti kebudayaan.

Program Safari Rakit Padawan yang sentiasa mendapat sambutan juga kembali diadakan dengan Kayuhan Santai dan Pesta Safari Rakit pada 3 Oktober, diikuti pertandingan Rakit Safari pada 4 Oktober di Sungai Sarawak Kiri.
Tan Kai berkata, festival itu akan melabuhkan tirainya pada 6 Oktober menerusi Malam Kebudayaan Antarabangsa yang menampilkan persembahan kumpulan kebudayaan tempatan serta rombongan kebudayaan dari bandar persahabatan MPP dan negara jiran termasuk China, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan terus memberikan sokongan terhadap penganjuran Safari Rakit Padawan dan berharap kementerian itu turut menyokong festival sulung berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja korporat atas sokongan yang diberikan sambil menegaskan keunikan Padawan bukan sahaja terletak pada keindahan alam semula jadinya, malah warisan budaya pelbagai kaum, komuniti yang dinamik serta potensi besar sebagai destinasi ekonomi dan pelancongan.

“Menerusi Festival Eksplorasi Padawan, kami mengajak semua untuk menikmati pengalaman Padawan melalui pengembaraan, budaya, perniagaan dan gastronomi,” katanya.
Menurutnya, festival itu dijangka menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak dan luar negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, pengusaha pelancongan serta komuniti luar bandar.
Oleh Connie Chieng



