PUTRAJAYA: Sebahagian besar projek infrastruktur bagi menyokong kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun pada sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal daripada jadual, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata pencapaian itu hasil komitmen semua pihak yang bertungkus lumus memastikan kemudahan sekolah berada pada tahap terbaik sebelum sesi persekolahan bermula.
“Dalam persiapan kita, khususnya persiapan infrastruktur untuk menerima kehadiran anak-anak berusia enam tahun pada tahun hadapan, projek telah pun ada yang siap ahead of time (lebih awal), bermakna jauh lebih awal daripada jadual,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Fadhlina berkata selain infrastruktur, pihaknya turut membuat persiapan rapi melibatkan penempatan guru dan keperluan lain berdasarkan unjuran kemasukan murid bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Bagaimanapun, beliau berkata KPM masih menerima pertanyaan serta permohonan pendaftaran daripada ibu bapa walaupun proses perancangan bagi sesi persekolahan tahun depan sedang dimuktamadkan.
“Persiapan kita melibatkan guru dan sebagainya dibuat berdasarkan unjuran yang telah ditetapkan. Namun, sehingga semalam, kita masih lagi menerima pertanyaan dan pendaftaran untuk anak-anak berusia enam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata sambutan yang berterusan itu menunjukkan ibu bapa semakin yakin terhadap pelaksanaan dasar berkenaan serta memberikan kepercayaan kepada KPM untuk menguruskan pelaksanaannya.
Terdahulu Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat antara persiapan KPM bagi kemasukan dua kohort murid tahun satu pada 2027, termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa.
Beliau berkata KPM menerima 73,386 permohonan pendaftaran tahun satu bagi kanak-kanak usia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027, manakala jumlah kanak-kanak umur tujuh tahun ialah seramai 405,033 orang.
Dalam pada itu, Fadhlina turut berkata KPM akan mengangkat 10 sekolah pada setiap daerah sebagai sekolah model dalam usaha mempercepat pelaksanaan reformasi pendidikan yang memberikan tumpuan kepada perubahan budaya, ekosistem dan kualiti penyampaian di sekolah mulai minggu depan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, lima ialah sekolah rendah, manakala lima lagi sekolah menengah yang akan dipilih sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.
“Saya telah melalui sesi bersama sekolah-sekolah ini dan nampaknya setiap sekolah mempunyai komitmen untuk melakukan perubahan dan reformasi dengan lebih baik, mengangkat mutu pendidikan, kemenjadian murid serta profesionalisme dan kepakaran guru,” katanya.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan reformasi sekolah tidak boleh disamakan dengan penambahbaikan fizikal semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan menyeluruh terhadap budaya kerja dan cara berfikir seluruh warga sekolah.
“Reformasi ini tidak boleh ada jalan singkat. Contohnya memasang penyaman udara di semua sekolah atau meletakkan papan pintar pada setiap kelas, itu bukan reformasi.
“Reformasi ialah hasrat untuk melihat perubahan budaya, perubahan ekosistem dan perubahan mentaliti yang perlu digarap oleh seluruh warga sekolah bagi mengangkat martabat sekolah menjadi sekolah terbaik,” katanya. – Bernama





