SARATOK: Seramai 28 penerima di daerah Saratok yang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan bakul makanan dalam program SABERKAS Prihatin, dekat sini semalam.
Bakul makanan itu telah disumbangkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kalaka dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Al-Muhtadin Saratok mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi SABERKAS Cawangan Kalaka, Abadi Hussein berkata sumbangan yang diagihkan itu diharap dapat meringankan sedikit beban golongan asnaf yang terkesan bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Beliau berharap bantuan yang diagihkan kepada golongan asnaf itu dapat membawa keceriaan kepada mereka dalam menyambut bulan mulia ini.
“Walaupun sumbangan yang disampaikan itu tidak seberapa namun ia diyakini akan memberi makna yang besar kepada golongan tersebut kerana ia mampu meringankan sedikit beban mereka dalam situasi ketika ini.
“Mudah-mudahan bantuan yang diberikan ini akan turut memberikan semangat kepada mereka dalam mengharungi pandemik pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Selain itu, kata Abadi SABERKAS Cawangan Kalaka turut tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Lot Wawasan Kampung Melango Saratok.
Dalam kejadian kebakaran 21 April lalu, seramai 10 penghuni rumah berkenaan termasuk termasuk seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) terselamat dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu.
Abadi berkata walaupun sumbangan itu tidak seberapa, namun diharap dapat meringankan beban dipikul setiap mangsa dan pada masa sama tindakan susulan akan diambil oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab selepas ini.
“Saya mewakili SABERKAS Cawangan Kalaka berharap seluruh keluarga mereka bersabar dan sentiasa kuatkan semangat dan iman menghadapi dugaan tersebut.
“Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada semua mangsa yang terjejas,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN