TANJUNG MANIS: Seramai 984 penerima zakat menerima zakat berupa wang tunai dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh di Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjung Manis, Jumaat lalu.
Penerima zakat tersebut adalah terdiri daripada asnaf, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan ibu tunggal.
Penerima zakat diwakili oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) masing-masing.
Datu Len Talif Salleh berkata, sumbangan ini dijalankan setiap tahun sejak beliau menjadi Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).
“Semoga amalan menunaikan zakat dapat meningkatkan semangat prihatin dan saling memberi bantuan serta memahami erti zakat sebenar,” katanya.
Terdahulu, beliau juga menyerahkan bahan pertanian secara simbolik kepada enam penerima dari Kampung Belawai, Jerijeh dan Rajang di bawah Program Pembangunan Pertanian Bahagian Mukah di Jabatan Pertanian Belawai.
“Setiap orang menerima RM5,000 berbentuk barangan pertanian ialah terdiri daripada Masrun Razali, Ahmad Shah Razali, Mohamad Rakebi Suut, Sinong Langgi, Rosli Akin dan Abu Seman Masri.
“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM750,000 di bawah Agriculture Facilitation Fund (AFF) untuk Kuala Rajang bagi Zon Tanjung Manis,” katanya.
Tambahnya, agihan yang telah diterima oleh pemohon tahun 2021 hampir RM155,000 melibatkan 30 orang dan bakinya akan diagihkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Bantuan benih seperti cili, tembikai, labu, baja, kelulut dan racun akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya sepanjang bulan Mei ini membabitkan ketiga-tiga kampung berkenaan sebagai sumber mempelbagaikan pertanian dan pendapatan pekebun kecil.
“Tanaman kontan amat sesuai ditanam di Zon Tanjung Manis disebabkan kesesuaian tanahnya.
“Tambahan pula, tanaman yang singkat ini berpontensi sebagai sumber pendapatan penduduk setempat sekali gus menjana ekonomi di kawasan Zon Tanjung Manis,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Pertanian Daerah Belawai, Awang Mohamad Riduan, Pemancha Morshidi Mores, Penghulu Kalali Klen dan Penghulu Abu Seman Masri.
Oleh EARL ANEK