KANOWIT: Seramai 539 warga emas berusia 60 tahun ke atas telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna, Kanowit.
Menurut Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Daerah Kanowit, program suntikan vaksin tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan II yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.
“Program diadakan selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu. Pada hari pertama (Jumaat), seramai 293 penerima hadir termasuk mereka yang dikategorikan di bawah kumpulan berisiko tinggi menerima dos pertama vaksin Sinovac.
“Pada hari kedua (Sabtu), seramai 246 penerima hadir menerima dos pertama mereka dengan jenis vaksin yang sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima dikenali sebagai Demit Bieng memberitahu, beliau merasa gembira kerana telah dipilih antara penerima suntikan vaksin tersebut.
Demit berusia 73 tahun ditemani oleh cucunya hadir ke pusat vaksinasi tersebut.
“Pendaftaran saya untuk menerima vaksin tersebut di MySejahtera telah dilakukan oleh anak bongsu saya,” ujarnya.
Menurutnya, suntikan tersebut tidak menyakitkan dan tidak memberikan kesan sampingan selepas menerimanya.
“Saya menyeru kepada mereka yang masih belum mendaftar menerima suntikan vaksin Covid-19 ini supaya segera mendaftar,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN