Sarawak Energy tanam 260,000 pokok, sasar 500,000 jelang 2030

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili pada Program Penanaman Pokok Bersama Media anjuran Sarawak Energy di Santuari Hidupan Liar Samunsam, hari ini.

SEMATAN: Sarawak Energy kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menanam 500,000 pokok di seluruh negeri menjelang 2030 apabila berjaya merekodkan penanaman sebanyak 260,000 pokok setakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, usaha berterusan yang bermula sejak 2021 itu merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan tenaga hijau di Sarawak.

“Hari ini sahaja kita berjaya menanam sebanyak 600 pokok di kawasan Karangas ini, dan bagi 2026, kita mensasarkan jumlah keseluruhan penanaman sebanyak 12,700 pokok.

“Inisiatif ini amat selari dengan perjalanan kelestarian Sarawak Energy sebagai antara pemaju tenaga diperbaharui terbesar bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara,” katanya.

RAKAMAN kenangan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili bersama para pengamal media dan kakitangan Sarawak Energy dalam Program Penanaman Pokok Bersama Media di Santuari Hidupan Liar Samunsam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Penanaman Pokok Bersama Media anjuran Sarawak Energy di Santuari Hidupan Liar Samunsam, di sini.

Turut hadir menjayakan program berkenaan ialah rakan strategik daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta wakil-wakil media tempatan.

Mengulas mengenai hala tuju program selepas 2030, Datuk Sharbini memberi jaminan bahawa inisiatif hijau tersebut akan terus disambung sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) Kerajaan Sarawak.

“Insya-Allah kita akan menyambungkan usaha ini. Sebagai sebuah organisasi yang telah bertapak lebih 100 tahun di Sarawak, kita mahu memastikan generasi kepimpinan Sarawak Energy seterusnya meneruskan warisan ini demi kelestarian alam sekitar dan masyarakat,” jelas beliau.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili ketika ditemui media selepas pelancaran Program Penanaman Pokok Bersama Media di Santuari Hidupan Liar Samunsam.

Mengulas mengenai inisiatif kelestarian lain, Sharbini berkata Sarawak Energy sentiasa mengintegrasikan elemen hijau dalam setiap projek pembangunan yang dilaksanakan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, syarikat kini giat membangunkan pelbagai portfolio tenaga hijau seperti solar, storan bateri dan pump storage, selain mengekalkan rekod prestasi tenaga hidro yang dimulakan sejak projek Batang Ai pada 1985.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira jangkaan masyarakat serta meninggalkan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang.

“Setiap pembangunan yang kita laksanakan mengambil kira kelestarian alam sekitar, memenuhi jangkaan masyarakat serta memastikan generasi akan datang mewarisi masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud