Wanita maut, empat cedera dalam nahas tiga kenderaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Seorang wanita maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan Yu Lung San Tian En Temple, Batu 15, Jalan Sibu-Bintulu, petang tadi.

Dalam kejadian itu, kemalangan melibatkan dua buah Proton Saga, masing-masing model MC3 dan FLX, serta sebuah lori.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.46 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang mangsa masih tersepit di dalam Proton Saga FLX.

PASUKAN BOMBA….Menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan Yu Lung San Tian En Temple, Batu 15, Jalan Sibu-Bintulu, petang tadi.

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, kemalangan itu melibatkan sembilan mangsa keseluruhannya.

KEMALANGAN MAUT… Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat selepas kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang mengorbankan seorang wanita di Batu 15, Jalan Sibu-Bintulu.

“Empat individu yang menaiki Proton Saga MC3, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita dewasa, terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Bagi Proton Saga FLX pula, lima mangsa terlibat iaitu dua lelaki dan tiga wanita dewasa. Dua lelaki dan dua wanita mengalami kecederaan serta dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, manakala seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera bomba penyelamat ringan (Light Fire Rescue Tender – LFRT) ditamatkan sepenuhnya pada 7.47 malam selepas mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Turut berada di Lokasi, Polis Diraja (PDRM), Polis Trafik, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Oleh Akun Giman