KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM370 juta bagi pembinaan Jambatan Sungai Sarawak-Sejingkat yang menjadi pelengkap kepada laluan utama kedua menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, jambatan tersebut merangkumi tiga pakej yang akan digabungkan menjadi Kuching Samarahan Expressway kedua.
“Ada tiga pakej, salah satunya 3DA iaitu pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Sarawak hampir 1.3 kilometer (jambatan sahaja).
“Pakej 3DB adalah menaiktaraf Jalan Tanjung Bako.
“Pakej yang seterusnya ialah jalan baharu menuju ke Jambatan Batang Samarahan,” katanya, selepas meninjau tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Sarawak-Sejingkat di Kampung Tanjong Bako, semalam.
Tambahnya, pembinaan jambatan yang dijadualkan mengambil masa empat tahun pembinaannya merupakan antara tiga pakej yang dicadangkan kerajaan sebelum ini dalam usaha mengurangkan masalah kesesakan di jalan utama menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching.
“Pembinaan jambatan itu yang menjadi pelengkap kepada Laluan Utama Kedua Kota Samarahan-Kuching adalah inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan jaringan infrastruktur lebih kondusif kepada rakyat khususnya yang tinggal di kawasan Samarahan.
“Saya yakin, menerusi pembinaan jajaran baharu itu, ia pastinya akan membuka peluang perkembangan sosioekonomi di kawasan sekitar laluan terbabit,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak amat serius dalam menyediakan jaringan infrastruktur di sepanjang kawasan persisir Sarawak yang merupakan kebanyakkannya merupakan kawasan luar bandar.
Oleh NUR AIN OTSMAN