
BINTANGOR: Aktiviti vandalisme dan kecurian berulang terhadap kemudahan telekomunikasi di menara SMART Sungai Rayah memaksa kerajaan Sarawak meningkatkan langkah keselamatan bagi memastikan perkhidmatan internet di kawasan luar bandar tidak terus terjejas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) terpaksa membina pagar keselamatan berketinggian kira-kira tiga meter lengkap dengan dawai di tapak menara SMART Sungai Rayah selepas insiden vandalisme dan kecurian berlaku sebanyak lima kali.
Katanya, tindakan tersebut diambil bagi melindungi aset telekomunikasi daripada terus menjadi sasaran kegiatan vandalisme yang mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan komunikasi penduduk di kawasan sekitar.
“Lawatan kita hari ini adalah untuk melihat kemudahan yang disediakan oleh SDEC iaitu menara SMART di Sungai Rayah.
“Di sini kita dapati bahawa kita terpaksa membina pagar setinggi kira-kira tiga meter lengkap dengan dawai selepas berlakunya vandalisme serta kerosakan dan kecurian sebanyak lima kali,” katanya ketika ditemui media sempena lawatan kerja ke tapak Menara Telekomunikasi SMART Sungai Rayah, hari ini.
Katanya, kegiatan vandalisme menyebabkan kabel telekomunikasi dicuri sehingga menjejaskan operasi menara dan memaksa SDEC mengambil langkah lebih tegas bagi memastikan aset tersebut terus berfungsi.
“Saya tanya tadi, berapa kosnya? Kos untuk membina pagar-pagar yang berdawai tiga meter sembilan kaki ini, lebih dari RM100,000.
“Penyediaan menara SMART dan semua peralatan telekomunikasi lebih kurang RM2.5 juta.

“Jadi, ia menyebabkan kita terpaksa menanggung kos tambahan. Sebab yang penting ialah rumah panjang dan perkampungan dalam kawasan sekitar mesti mendapatkan kemudahan perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Tambahnya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) turut dijemput menyertai lawatan tersebut bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara kemudahan awam yang disediakan kerajaan.
“Setakat ini, sejak dibina dinding yang tinggi dan pagar dawai, tidak berlaku vandalisme. Mudah-mudahan dapat bertahan lama.
“Sebenarnya, selain daripada tapak ini SDEC telah membuat pagar yang sama di empat lagi kawasan.
“Ini semua disebabkan aktiviti vandalisme yang menyebabkan kerosakan dan kecurian, terutama sekali kabel dan bateri,” katanya lagi.
Katanya, matlamat utama kerajaan Sarawak adalah memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang lebih baik, sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, inisiatif menara SMART melengkapkan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi program JENDELA, dengan kedua-dua inisiatif memberi tumpuan kepada peluasan liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar.
“Program JENDELA dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui SKMM, manakala menara SMART merupakan inisiatif kerajaan Sarawak.
“Kita mahu mempercepatkan liputan internet di kawasan luar bandar kerana transformasi digital merupakan antara pemangkin utama dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Oleh Earl Anek





