KANOWIT: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) meneruskan usaha mendekati masyarakat Bumiputera Sarawak menerusi penyertaan dalam Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak Siri 4 Tahun 2026 anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak di Dataran Kubu Emma, hari ini.
Eksekutif Jabatan Pemasaran dan Jualan ASSAR, Marc Lubexbill Atet berkata, penyertaan kali ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai membuka akaun baharu, malah memfokuskan kepada usaha mengemas kini maklumat pelabur sedia ada.
Katanya, terdapat pelabur lama yang sukar dihubungi kerana berlaku perubahan alamat, nombor telefon dan e-mel, justeru mereka digalakkan hadir bagi memastikan rekod masing-masing sentiasa dikemas kini.
“Objektif utama kami ialah mendapatkan maklumat terkini pelabur lama selain membantu mereka yang ingin membuka akaun baharu. Kami mahu memastikan maklumat pelabur sentiasa lengkap dan tepat,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.
Beliau berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di reruai ASSAR ialah pertanyaan mengenai pelaburan, pembukaan akaun, penambahan pelaburan serta pengemaskinian maklumat pelabur.

Menurutnya, ASSAR sebelum ini turut menyertai program seumpamanya di Bintulu dan Sibu, manakala penyertaan di Sarikei dan Mukah menerusi Program Sarawakku Sayang akan dipertimbangkan mengikut perancangan semasa.
Dalam pada itu, Marc berkata, ASSAR berharap lebih ramai Bumiputera Sarawak mengambil peluang melabur kerana dana amanah itu ditubuhkan khusus bagi memberi pulangan kepada Bumiputera Sarawak.
“Pelabur berpeluang menikmati pelbagai manfaat termasuk dividen, perlindungan takaful sehingga RM300,000, khairat kematian serta insentif pendidikan melalui Akaun Pendidikan ASSAR bagi pencapaian di peringkat SPM, diploma dan ijazah,” jelasnya.
Beliau menambah, skim pelaburan ASSAR terbuka khusus kepada Bumiputera Sarawak dan orang ramai dijemput mengunjungi reruai ASSAR yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Dataran Kubu Emma bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membuka akaun pelaburan.
Oleh Tarani Lanting





