DARO: Sekitar 1,000 peserta memeriahkan Jalan Santai Jambatan Muara Lassa sempena Pesta Daro 2026 di Jambatan Muara Lassa, yang bukan sahaja menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat setempat.
Program yang bermula seawal 6.00 pagi itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Daro, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Daerah Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan penyertaan dianggarkan melebihi 1,000 orang. Program dimulakan dengan senaman aerobik sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan santai.
“Ia bukan pertandingan untuk menentukan siapa yang tiba dahulu, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, khususnya dalam kalangan penduduk di daerah Daro,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut beliau, konsep Jalan Santai dipilih berbanding acara larian bagi memberi peluang kepada peserta menikmati aktiviti bersama keluarga dalam suasana yang lebih santai.
“Penyertaan melibatkan semua peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga warga emas, selain disertai masyarakat pelbagai kaum termasuk Melanau, Cina, Iban dan Melayu.
“Pagi ini kita dapat melihat ramai keluarga hadir bersama anak-anak dengan mengenakan pakaian beragam yang kreatif. Ini menunjukkan program seperti ini mampu menjadi wadah untuk keluarga meluangkan masa berkualiti bersama, khususnya pada hujung minggu,” katanya.

Dr Safiee berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan program itu, termasuk pertandingan berkumpulan, pertandingan pakaian beragam dan cabutan bertuah.
Menurut beliau, penganjuran aktiviti kemasyarakatan seumpama itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah membantu mengurangkan gejala sosial, khususnya dalam kalangan belia.
Beliau berkata, program itu juga menjadi medium mempromosikan Jambatan Muara Lassa sebagai ikon baharu daerah Daro.
“Walaupun status Jambatan Muara Lassa sebagai jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia kini diambil alih oleh Jambatan Batang Lupar 1, ia kekal sebagai antara mercu tanda penting di Sarawak.

“Jambatan ini merupakan antara jambatan terpanjang yang dibina di sepanjang Projek Jalan Pesisir dan mempunyai nilai strategik dalam mempromosikan daerah Daro,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sambutan menggalakkan terhadap Pesta Daro 2026 yang berlangsung selama 10 hari sebagai petanda peningkatan kehadiran pengunjung dari luar ke daerah itu.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang semakin baik, termasuk jaringan jalan raya dan jambatan, membuka lebih banyak peluang untuk merancakkan sektor ekonomi serta industri pelancongan tempatan.
“Kita menjangkakan lebih ramai pengunjung akan datang ke Daro pada masa hadapan, terutama apabila Jambatan Batang Paloh dijangka siap pada Oktober ini.
“Dengan kemudahan perhubungan yang lebih baik, masyarakat luar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri untuk datang ke sini,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Oleh Akun Giman



