FRANKFURT (Jerman): Jurgen Klopp dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Jerman dengan misi mengembalikan kegemilangan gergasi Eropah itu, umum Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada Jumaat.
Pelantikan bekas pengurus Liverpool berusia 59 tahun itu sudah dijangka sejak beberapa minggu lalu. Kontraknya akan berlangsung sehingga Piala Dunia 2030 yang dianjurkan bersama Sepanyol, Portugal dan Maghribi, termasuk tiga perlawanan sambutan ulang tahun ke-100 kejohanan itu di Amerika Selatan.
Klopp sebelum ini secara terbuka menyatakan minat untuk mengendalikan Jerman selepas Julian Nagelsmann meletakkan jawatan awal bulan ini berikutan kegagalan skuad itu tersingkir pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia selepas tewas kepada Paraguay.
Sebagai calon pilihan DFB, kesediaan Klopp menerima jawatan tersebut mempercepatkan proses pengunduran Nagelsmann.
“Ia satu penghormatan besar untuk saya berada di sini hari ini. Ini mungkin kemuncak kerjaya dan kehidupan profesional saya. Saya akan memberikan segala yang saya ada,” kata Klopp pada sidang media pengumuman pelantikannya di Frankfurt.
Namun, beliau sempat berseloroh kepada wartawan bahawa jika keesokan hari orang mula berkata beliau “tidak bagus”, beliau akan terus berundur.
Presiden DFB, Bernd Neuendorf berkata kontrak Klopp bermula pada 15 Ogos dan berakhir pada musim panas 2030.

Sejak 2025, Klopp berkhidmat sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull dengan kontrak sehingga 2029, menyelia kelab-kelab di bawah syarikat itu seperti RB Leipzig, Red Bull Salzburg dan New York Red Bulls.
Neuendorf turut mengucapkan terima kasih kepada Red Bull kerana bersetuju menamatkan kontrak Klopp lebih awal bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada skuad kebangsaan.
DFB tidak perlu membayar pampasan kepada Red Bull, sebaliknya akan menyumbang satu juta euro (AS$1.1 juta) kepada yayasan kebajikan Wings for Life yang menyokong penyelidikan kecederaan saraf tunjang.
Misi besar
Walaupun sebelum ini beberapa kali menyatakan kerjayanya di bangku jurulatih sudah berakhir, Klopp kini kembali memikul tugas besar mengangkat semula prestasi Jerman.
Juara dunia empat kali dan juara Eropah tiga kali itu bergelut sejak menjuarai Piala Dunia 2014, termasuk tersingkir awal dalam tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.
Pada kejohanan tahun ini, Jerman tersingkir selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Paraguay pada pusingan 32 terbaik.
Sejak mara ke separuh akhir Euro 2016, Jerman hanya memenangi satu perlawanan peringkat kalah mati dalam tiga Piala Dunia dan dua Kejohanan Eropah.

Klopp sebelum ini mencipta kejayaan bersama Mainz dan Borussia Dortmund sebelum mengakhiri tugas di Liverpool pada 2024 selepas memenangi semua trofi utama.
Di bawah bimbingannya, Liverpool menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali keenam.
Klopp akan bekerjasama dengan Rudi Voeller, bekas penyerang juara dunia 1990 yang kini merupakan pengarah sukan DFB sejak 2023.
Antara cabaran utama beliau ialah membina semula pasukan berasaskan bakat muda seperti Florian Wirtz dan Jamal Musiala yang masing-masing berusia 23 tahun.
Kapten Joshua Kimmich pula akan berusia 33 tahun menjelang Euro 2028, manakala penjaga gol Manuel Neuer kembali daripada persaraan antarabangsa pada usia 40 tahun untuk satu penampilan terakhir di Piala Dunia.
Skuad pertama Klopp dijangka diumumkan pada pertengahan September bagi menghadapi empat perlawanan Liga Negara-Negara UEFA, bermula menentang Belanda pada 24 September. – AFP





