KUCHING: Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak Bilangan 2/2026 menjadi platform memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan dengan warga kerja ke arah penyampaian perkhidmatan yang cekap, produktif dan berkesan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, MBJ berperanan sebagai platform perbincangan bagi membolehkan usul berkaitan kepentingan bersama dikemukakan, diteliti dan diselesaikan secara kolektif.
Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan meliputi isu elaun dan kemudahan, kewangan, perkhidmatan, skim perkhidmatan serta perjawatan, kebajikan, pentadbiran dan perkara lain berkaitan kepentingan warga PDRM.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MBJ PDRM Kontinjen Sarawak Bilangan 2/2026 di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, petang ini.
Mohamad Zainal berkata, mesyuarat berkenaan turut menjadi kesinambungan kepada siri perbincangan terdahulu bagi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya, sekali gus mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada pegawai, anggota serta pegawai awam PDRM dalam kontinjen Sarawak.
Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, SAC Zulkipli Suhaili; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak, SAC Roselina Daud, ketua-ketua jabatan IPK Sarawak serta wakil persatuan dalam PDRM Kontinjen Sarawak.




