JHS cipta rekod MBR tanam 82 spesies pokok asli terancam

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mencipta rekod nasional apabila diiktiraf oleh Buku Rekod Malaysia (MBR) atas kejayaan menanam 82 spesies pokok asli yang tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) di sebuah hutan simpan dalam tempoh setahun.

Pengiktirafan itu diperoleh menerusi aktiviti pemulihan hutan yang dilaksanakan sepanjang 2025 di Hutan Simpan Sabal, melibatkan penanaman sebanyak 31,260 anak pokok daripada 82 spesies asli.

Daripada jumlah tersebut, 35 spesies dikategorikan sebagai spesies terancam mengikut Senarai Merah IUCN, iaitu dalam kategori Rentan (VU) dan Terancam (EN).

Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan JHS dalam memulihkan populasi spesies pokok asli yang berdepan risiko kepupusan, di samping mengembalikan fungsi ekologi kawasan hutan yang terjejas.

CIPTA REKOD MBR… Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menerima sijil Buku Rekod Malaysia (MBR) atas kejayaan menanam 82 spesies pokok asli tersenarai dalam Senarai Merah IUCN di Hutan Simpan Sabal, disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Usaha berkenaan turut menekankan kepentingan pemulihan ekosistem hutan melalui penanaman pelbagai spesies asli yang mempunyai nilai ekologi dan pemuliharaan yang tinggi.

Selain meningkatkan litupan hutan, penanaman pelbagai spesies pokok asli itu turut memperkukuh daya tahan ekosistem, meningkatkan biodiversiti serta memelihara khazanah botani Sarawak untuk manfaat generasi akan datang.

Penyampaian simbolik sijil pengiktirafan MBR berlangsung sempena Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-21 pada 13 Julai lalu dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian JHS dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan hutan.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai antara peneraju pemulihan ekologi di peringkat nasional, selain membuktikan komitmen JHS dalam memelihara spesies pokok asli serta menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti global menerusi kerangka Senarai Merah IUCN.