PETRA JAYA: Penyertaan Pertandingan Video TikTok Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) 2.0 meningkat kepada 128 penyertaan tahun ini berbanding 52 pada penganjuran sulung tahun lalu, sekali gus mencerminkan minat yang semakin berkembang dalam kalangan anak Sarawak terhadap penghasilan kandungan digital yang kreatif dan positif.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, peningkatan penyertaan itu menunjukkan media sosial kini semakin dilihat sebagai medium komunikasi dan penyampaian maklumat yang berpengaruh, bukan sekadar platform hiburan.
Menurutnya, penganjuran pertandingan itu turut bertujuan membina budaya penghasilan kandungan digital yang positif, kreatif dan berkualiti dalam kalangan masyarakat.

“UKAS menganjurkan pertandingan ini bukan semata-mata untuk mencari pemenang atau menghasilkan video terbaik, tetapi juga untuk membina budaya penghasilan kandungan digital yang positif.
“Kita melihat media sosial hari ini dipenuhi dengan pelbagai jenis kandungan, namun melalui pertandingan ini, kita mahu peserta menghasilkan idea yang kreatif, positif, berkualiti dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video TikTok UKAS 2.0 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

Awang Putrayusrie berkata, platform seperti TikTok membolehkan mesej disampaikan dengan pantas dan kreatif, selain mampu menjangkau khalayak yang lebih luas dalam tempoh singkat.
Menurutnya, tema ‘Inspirasi Anak Sarawak’ dipilih kerana setiap anak Sarawak mempunyai kisah yang mampu memberi inspirasi kepada penonton, sama ada melalui kejayaan, perpaduan, warisan budaya, inovasi mahupun semangat cintakan negeri.
Beliau berkata, peningkatan penyertaan daripada 52 pada tahun lalu kepada 128 tahun ini, iaitu pertambahan 76 penyertaan, membuktikan sambutan terhadap pertandingan berkenaan semakin menggalakkan.
Oleh Adele Rissa





