PETRA JAYA: Kreativiti anak Sarawak menerusi Pertandingan Video TikTok UKAS 2.0 bukan sekadar menghasilkan kandungan digital, malah menjadi jambatan komunikasi dua hala yang membolehkan kerajaan memahami aspirasi, pandangan dan keperluan rakyat terhadap pembangunan negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, berkata penyertaan pelajar dan orang awam dari seluruh Sarawak membuktikan platform digital mampu menjadi medium penyampaian maklumat yang berkesan, di samping memberi ruang kepada rakyat menzahirkan pandangan serta aspirasi mereka.
Menurut beliau, komunikasi antara kerajaan dan rakyat tidak seharusnya bersifat sehala, sebaliknya perlu mengambil kira pandangan, keperluan dan aspirasi masyarakat.
“Komunikasi antara kerajaan dan rakyat tidak seharusnya bersifat sehala. Kita juga perlu memberi ruang kepada kerajaan memahami pandangan serta keperluan masyarakat.
“Kita tidak mahu komunikasi hanya bersifat sehala. Kita ingin mengetahui selera, cita rasa dan isi hati masyarakat supaya setiap rancangan serta dasar kerajaan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video TikTok UKAS 2.0 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Abdullah berkata, pertandingan itu turut membuktikan bahawa media sosial, termasuk TikTok, boleh dimanfaatkan secara positif sebagai platform untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat.
Menurut beliau, walaupun media sosial sering dikaitkan dengan pelbagai gejala negatif seperti buli siber dan penipuan, platform berkenaan juga mempunyai potensi besar untuk mempromosikan budaya, mengetengahkan nilai kemanusiaan serta memupuk semangat setia kawan.
“Pada masa yang sama, kita juga melihat sisi yang lebih cerah dan positif media sosial yang mengetengahkan nilai kemanusiaan, mempromosikan budaya serta memupuk semangat setia kawan,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program itu pada masa hadapan, Abdullah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi menganjurkan pertandingan sama sempena sambutan Hari Malaysia akan datang.
Katanya, penganjuran pertandingan seumpama itu penting bagi memberi ruang kepada anak Sarawak menzahirkan kreativiti di samping menyampaikan pandangan mereka mengenai pembangunan negeri menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan generasi digital.





