KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, dengan sentimen berhati-hati dijangka berterusan selepas kenaikan pasaran serantau semalam menyebabkan pasaran Asia terdedah kepada penurunan semalaman di Wall Street.
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 6.09 mata kepada 1,708.50 daripada 1,714.59 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.14 mata kepada 1,710.45.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 336 berbanding 151 manakala 280 kaunter tidak berubah, 2,773 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 432.49 juta saham bernilai RM134.15 juta.
Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, sentimen pasaran terjejas oleh kenaikan harga minyak mentah Brent yang melepasi paras AS$100 setong selain reaksi pasaran yang negatif terhadap pelan perbelanjaan Alphabet dan Tesla yang menyebabkan Nasdaq menurun 2.15 peratus.

Alphabet ialah syarikat konglomerat teknologi multinasional dan syarikat induk kepada Google.
“Kaunter berkaitan tenaga dan minyak dijangka menjadi tumpuan hari ini, disokong oleh harga minyak mentah Brent yang kekal pada AS$101 setong manakala saham teknologi dijangka mencatat prestasi lemah berikutan jualan dalam saham permodalan besar.
“Secara keseluruhan, aktiviti dagangan dijangka kekal berhati-hati dan selektif menjelang hujung minggu dan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat minggu depan berikutan hasil Perbendaharaan yang mencecah paras tertinggi pada tahun ini dan tuntutan pengangguran yang rendah telah meningkatkan risiko kepada keputusan yang cenderung kepada kadar faedah tinggi,” menurutnya.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent diniagakan pada AS$100.02 setong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing menurun dua sen kepada RM10.84 dan RM7.71, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM5.14 dan RM8.36 manakala Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM14.40.
Bagi saham aktif, AIMAX mendatar pada satu sen, VS Industry merosot satu sen kepada 24 sen, Bumi Armada dan GIIB, masing-masing meningkat setengah sen kepada 37 sen dan 57 sen manakala Zetrix AI menurun satu sen kepada 70 sen.
Kaunter paling untung ialah ESYS meningkat 39 sen kepada 50 sen, Kuala Lumpur Kepong naik 10 sen kepada RM20.76, Gas Malaysia dan Petronas Gas, masing-masing menambah enam sen kepada RM5.18 dan RM17.56 serta Westports menokok lima sen kepada RM6.74.
Kaunter paling rugi diterajui oleh Nestle, menurun 36 sen kepada RM90.84, UMS Integration merosot 26 sen kepada RM7.79, Malaysian Pacific berkurangan 24 sen kepada RM45.94, Hong Leong Bank menyusut 18 sen kepada RM22.18 dan Kelington menurun 11 sen kepada RM7.91.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 38.13 mata kepada 12,619.60, Indeks FBMT Top 100 menurun 37.07 mata kepada 12,444.79 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 35.25 mata kepada 12,461.03.
Indeks FBM ACE menyusut 24.65 mata kepada 4,944.43 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 21.79 mata kepada 17,845.55.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 3.34 mata kepada 777.48, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 69.65 mata kepada 20,141.06, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.56 mata kepada 188.20 dan Indeks Perladangan menyusut 14.52 mata kepada 9,225.75. – Bernama





