LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal mengesahkan menandatangani pemain sayap Greece, Christos Tzolis, menerusi kontrak jangka panjang, umum kelab itu.
Tiada nilai perpindahan didedahkan, namun media Britain melaporkan pemain berusia 24 tahun itu dibawa masuk dari Club Brugge dengan nilai £34 juta (AS$45 juta/RM183.9 juta), sekali gus dilihat sebagai pengganti Leandro Trossard yang menyertai Besiktas.
Tzolis menjadi pemain ketiga yang ditandatangani secara kekal oleh Arsenal pada jendela perpindahan kali ini, hanya 48 jam selepas The Gunners gagal mendapatkan Morgan Rogers yang memilih menyertai pencabar setempat, Chelsea, dalam perpindahan bernilai £117 juta (AS$157 juta/RM641.9 juta) yang dilaporkan menjadi rekod perpindahan tertinggi melibatkan pemain Britain.
Pemain tengah England itu turut menggelar Chelsea sebagai “kelab terbesar di London”.
Tzolis menjaringkan 43 gol dalam 108 penampilan bersama Brugge dan pernah beraksi ketika kelab Belgium itu tewas 0-3 kepada Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu.
Beliau juga memiliki pengalaman beraksi di EPL selepas menyertai Norwich City, ketika kelab itu masih beraksi di liga tertinggi England, susulan membantu PAOK Thessaloniki, kelab yang memulakan karier profesionalnya, menjuarai Piala Greece pada Mei 2021.
Selepas itu, Tzolis dipinjamkan ke FC Twente di Belanda dan Fortuna Düsseldorf di Jerman sebelum menyertai Brugge pada 2024, seterusnya membantu kelab berkenaan muncul juara Liga Belgium musim lalu.
Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta, mengalu-alukan kehadiran Tzolis yang telah membuat 34 penampilan bersama skuad kebangsaan Greece.
“Christos ialah pemain serangan yang sangat versatil.
“Dia mempunyai penyudah yang cemerlang menggunakan kedua-dua belah kaki, mampu beraksi dengan baik dalam ruang sempit dan memiliki kebolehan teknikal yang luar biasa.
“Christos mencatat jumlah jaringan dan bantuan gol yang mengagumkan sepanjang tiga musim lalu.
“Kami yakin Christos akan memberi sumbangan besar kepada kelab ini dan berharap para penyokong akan menikmati aksinya bersama Arsenal,” katanya menerusi laman web rasmi kelab itu. — Bernama




