Swinburne, Melinau EV kaji penerimaan kenderaan hijau di Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Melinau EV Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama penyelidikan bagi mengkaji faktor yang mendorong pengguna di Sarawak beralih daripada kenderaan berenjin pembakaran dalaman kepada kenderaan hijau.

Menurut kenyataan media Swinburne Sarawak hari ini, kajian selama enam bulan bermula Ogos 2026 hingga Januari 2027 itu dijangka menjadi penyelidikan khusus pertama yang meneliti kecenderungan pengguna terhadap penggunaan kenderaan hijau di bandar  utama di Sarawak.

Menerusi projek bertajuk Pembangunan Kerangka Bersepadu bagi Mengkaji Kecenderungan Pengguna Beralih kepada Kenderaan Hijau di Sarawak, penyelidik akan mengkaji pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna untuk beralih kepada kenderaan hijau.

Antara faktor yang akan diteliti ialah kesedaran terhadap alam sekitar, persepsi nilai, kepercayaan terhadap teknologi kenderaan hijau, keyakinan terhadap jarak perjalanan, imej jenama, pengaruh sosial, persepsi risiko serta tabiat penggunaan kenderaan.

KERJASAMA PENYELIDIKAN EV… Dr Gabriel Wee Wei En (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Yii Teck Sing (empat dari kanan) pada majlis pelancaran kerjasama penyelidikan antara Swinburne Sarawak dan Melinau EV di Kuching. Turut kelihatan wakil kedua-dua organisasi.

Kajian itu turut meneliti faktor yang menyebabkan kadar penggunaan kenderaan hijau masih rendah walaupun kesedaran masyarakat terhadap teknologi berkenaan semakin meningkat.

Antara isu yang akan dikaji ialah kemampuan memiliki kenderaan, kemudahan infrastruktur pengecasan, nilai jualan semula, kebolehpercayaan teknologi serta tahap keyakinan pengguna.

Dapatan kajian dijangka menyediakan cadangan berasaskan bukti kepada kerajaan, pemain industri dan pihak berkepentingan bagi merangka strategi serta dasar yang lebih berkesan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan hijau di Sarawak.

Dekan Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni Swinburne Sarawak, Profesor Brian Wong Kee Mun berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan dengan industri, di samping melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa depan.

Menurut beliau, menerusi Sekolah Perniagaan dan Hab Keusahawanan, kerjasama itu bukan sahaja menghasilkan penyelidikan gunaan yang memberi manfaat kepada industri, malah membolehkan pelajar memperoleh pendedahan kepada perkembangan sebenar industri kenderaan elektrik (EV).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Melinau EV Sdn. Bhd., Yii Teck Sing berkata, kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri penting dalam menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada pembangunan Sarawak.

Beliau berkata, inisiatif pertama menerusi kerjasama itu ialah membangunkan kerangka berasaskan bukti bagi mengenal pasti faktor utama yang mempengaruhi pengguna di Sarawak untuk beralih kepada kenderaan hijau.

Menurutnya, Melinau EV turut berharap dapat bekerjasama dengan Swinburne dalam menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti serta pengalaman pelanggan dalam industri automotif.

“Kami berharap kerjasama ini dapat menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, penyelesaian AI yang praktikal serta melahirkan bakat masa depan bagi menyokong pembangunan ekosistem mobiliti yang lebih pintar, hijau dan mampan di Sarawak serta Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik projek berkenaan, Dr Gabriel Wee Wei En berkata, kajian itu akan mengisi jurang penyelidikan sedia ada dengan memberi tumpuan kepada faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna untuk menerima atau menolak penggunaan kenderaan hijau di Sarawak.

Beliau yang juga Ketua Entrepreneurship Hub Swinburne Sarawak berkata, kajian itu akan melibatkan responden di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bagi mengenal pasti sama ada tahap kesediaan serta kebimbangan pengguna terhadap kenderaan hijau berbeza mengikut kawasan.

“Penemuan kajian ini akan diterjemahkan kepada cadangan praktikal berkaitan pendidikan pengguna, komunikasi pasaran, penglibatan pihak berkepentingan serta penggubalan dasar bagi menyokong pembangunan ekosistem kenderaan hijau di Sarawak,” katanya.

Kerjasama penyelidikan itu dimulakan secara rasmi menerusi mesyuarat pelancaran projek yang diadakan di Swinburne Sarawak pada 15 Julai lalu dan dijangka menyumbang kepada usaha mempercepatkan peralihan ke arah penggunaan kenderaan hijau di Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi