AirBorneo mulakan penerbangan antarabangsa sulung ke Singapura sempena Hari Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: AirBorneo (AirBorneo Airways) melakar sejarah sempena sambutan Hari Sarawak apabila memulakan laluan antarabangsa sulungnya yang menghubungkan Kuching dengan Singapura menerusi Lapangan Terbang Changi Singapura, Terminal 4.

Penerbangan sulung MY363 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 6.50 petang semalam dan tiba di Singapura pada 8.04 malam, iaitu 21 minit lebih awal daripada jadual.

DELEGASI AirBorneo, Changi Airport Group serta tetamu bergambar bersama sempena pelancaran penerbangan antarabangsa sulung laluan Kuching-Singapura di Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Penerbangan pulang MY364 pula berlepas dari Singapura pada 9.27 malam sebelum tiba di Kuching pada 10.36 malam, 14 minit lebih awal daripada jadual.

Laluan Kuching-Singapura mula beroperasi pada 22 Julai semalam dengan kekerapan penerbangan setiap hari, iaitu tujuh kali seminggu.

Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pelancaran laluan antarabangsa pertama itu merupakan pencapaian penting bukan sahaja kepada syarikat penerbangan tersebut, malah kepada Sarawak.

“Pelancaran laluan antarabangsa pertama kami menandakan satu pencapaian penting bagi AirBorneo dan Sarawak. Ia mencerminkan komitmen kami untuk memperkukuh hubungan, meluaskan peluang dan menyokong aspirasi pembangunan ekonomi jangka panjang Sarawak.

PENGERUSI AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (tengah) bergambar bersama wakil kebudayaan Sarawak sempena pelancaran penerbangan antarabangsa sulung AirBorneo di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Singapura merupakan pintu masuk serantau yang penting dan laluan baharu ini akan memperkukuh sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan serta hubungan antara rakyat Sarawak dan Singapura.

“Sempena sambutan Hari Sarawak, pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan berterusan Sarawak serta visi bersama untuk meletakkan negeri ini sebagai pintu masuk dinamik ke rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, laluan Kuching-Singapura dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama syarikat berikutan hubungan ekonomi yang kukuh serta kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan dan perdagangan utama di rantau ini.

Menurutnya, pembukaan laluan tersebut menjadi permulaan kepada pengembangan rangkaian antarabangsa AirBorneo secara strategik ke lebih banyak destinasi, memperkukuh kesalinghubungan serantau serta menyokong pertumbuhan jangka panjang negeri ini.

DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (kanan) bertukar cenderamata dengan wakil Changi Airport Group sempena pelancaran laluan antarabangsa sulung AirBorneo, Kuching-Singapura, di Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, Singapura.

AirBorneo akan mengendalikan penerbangan harian bagi laluan Kuching-Singapura, dengan tiket kini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.airborneo.com dan aplikasi mudah alih AirBorneo.

Ditubuhkan pada Januari 2026 susulan pengambilalihan operasi MASwings, AirBorneo merupakan syarikat penerbangan milik Sarawak yang menyediakan perkhidmatan penerbangan selamat, boleh dipercayai dan mampu milik di seluruh Malaysia serta rantau ini.

Selain meneruskan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), syarikat itu turut mengembangkan operasi jet bermula dengan laluan Kuching-Kuala Lumpur sebelum memperkenalkan laluan antarabangsa sulung ke Singapura.

Oleh Shikin Mahmud