KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka meningkat seiring pasaran serantau ketika prestasi pendapatan memberangsangkan syarikat teknologi turut mendorong kenaikan saham berkaitan sektor itu di peringkat tempatan.
Pada 9.11 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.42 mata kepada 1714.79 daripada 1,711.37.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.20 mata kepada 1,714.38.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 203 berbanding 134 manakala 315 lain tidak berubah, 2,100 tidak diniagakan dan 23 kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 313.06 juta saham bernilai RM101.23 juta.
Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata firma teknologi Alphabet Inc mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan yang mengatasi jangkaan bagi suku kedua tahun kewangan 2026, didorong terutamanya oleh pertumbuhan ketara Google Cloud.
Alphabet merupakan konglomerat teknologi multinasional dan syarikat induk Google.
Perbelanjaan modal Alphabet pula meningkat hampir dua kali berbanding tahun sebelumnya kepada AS$44.9 bilion susulan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), sekali gus menyebabkan aliran tunai bebas suku tahunannya di paras negatif buat pertama kali yang berjumlah AS$5.9 bilion.

“Susulan prospek perbelanjaan modal Alphabet yang positif, kami percaya kesan positif itu mungkin turut melimpah kepada saham-saham teknologi tempatan,” menurutnya dalam nota tinjauan hari ini.
Kaunter saham teknologi yang meningkat termasuk KESM Industries yang menokok 15 sen kepada RM4.40, Kelington naik sembilan sen kepada RM8.17 dan Mi Technovation yang meraih tujuh sen kepada RM5.76.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM10.94 dan RM5.15, Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM14.30, CIMB meraih satu sen kepada RM7.67 manakala IHH Healthcare naik enam sen kepada RM8.39.
Kaunter paling untung diterajui oleh Hong Leong Industries yang naik 10 sen kepada RM18.10, Petronas Chemicals untung sembilan sen kepada RM4.81, PPB Group menambah tujuh sen kepada RM9.47, Sarawak Plantation meningkat enam sen kepada RM4.38 manakala Telekom Malaysia naik lima sen kepada RM7.70.
Sebaliknya kaunter paling rugi didahului oleh United Plantations yang merosot RM1.34 kepada RM32.70, Petronas Gas rugi 16 sen kepada RM17.52, Press Metal Aluminium turun enam sen kepada RM7.99 dan Spritzer serta Kuala Lumpur Kepong masing-masing kehilangan empat sen kepada RM2.86 dan RM20.88.
Bagi indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 20.74 mata kepada 12,676.70, Indeks FBMT 100 menambah 18.38 mata kepada 12,498.35 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 25.43 mata kepada 12,523.13.
Saham paling aktif pula menyaksikan AIMAX tidak berubah pada 1.5 sen, Kinergy Advancement dan Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 39.5 sen dan 26.5 sen, Cape EMS meraih satu sen kepada 29.5 sen dam Zetrix AI susut setengah sen kepada 71 sen.
Indeks FBM ACE meningkat 9.98 mata kepada 4,971.0 manakala Indeks FBM Mid 70 menguncup 1.361 mata kepada 17,955.45.
Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.87 mata kepada 20,211.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.65 mata kepada 189.01, Indeks Tenaga menokok 3.57 mata kepada 777.98 namun Indeks Perladangan susut 37.18 mata kepada 9,284.06. – Bernama





