Sembilan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak terima geran Persekutuan RM1.5 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MICHAEL Kong mengiringi pertubuhan bukan Islam di Putrajaya menerima geran.

KUCHING: Sebanyak sembilan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak berjaya memperoleh geran Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM1.5 juta menerusi program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, berkata beliau bersama seorang lagi pembantu khas, Sim Kiat Leng, mengunjungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya pada Hari Sarawak bagi menyaksikan proses kelulusan permohonan RIBI serta melengkapkan dokumentasi yang diperlukan.

Menurut Kong, enam rumah ibadat bukan Islam di Sarawak diluluskan dalam pusingan permohonan terbaharu. Digabungkan dengan tiga kelulusan sebelum ini, sebanyak sembilan institusi telah menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM1.5 juta.

“Amat bermakna apabila peruntukan ini diproses pada Hari Sarawak kerana ia membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong pembangunan serta keperluan komuniti rumah ibadat bukan Islam di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pasukan khidmat Ahli Parlimen Stampin telah mengemukakan 18 permohonan geran RIBI tahun ini bagi pihak tokong, gereja dan pertubuhan keagamaan bukan Islam di kawasan Kuching.

“Setakat ini, sembilan permohonan telah diluluskan manakala baki sembilan lagi masih dalam proses penilaian. Kami berharap lebih banyak permohonan akan diluluskan dalam masa terdekat,” katanya.

Kong berkata, ramai pertubuhan keagamaan sebelum ini kurang arif mengenai prosedur permohonan Kerajaan Persekutuan, justeru pasukan khidmat membantu menyediakan dokumen, melengkapkan permohonan dan membuat susulan dengan pihak berkaitan.

Menurutnya, program RIBI mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan rumah ibadat bukan Islam turut menerima sokongan yang sewajarnya.

“Tokong, gereja dan rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja menjadi tempat menjalankan aktiviti keagamaan, malah turut memainkan peranan penting dalam kebajikan, pendidikan dan khidmat masyarakat. Oleh itu, mereka wajar menerima bantuan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan khidmat Ahli Parlimen Stampin akan terus membantu lebih banyak pertubuhan keagamaan yang layak memohon geran RIBI supaya manfaat peruntukan Kerajaan Persekutuan dapat dinikmati oleh lebih ramai masyarakat di peringkat akar umbi.

Oleh Connie Chieng