Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, seiring penurunan mata wang utama

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini, seiring penyusutan mata wang utama lain, apabila unit tempatan itu dijangka terus bergerak dalam aliran berhati-hati susulan ketegangan yang masih berlarutan di Asia Barat terus mengganggu bekalan minyak dan gas global.

Pada 8.00 pagi, ringgit berada pada paras 4.0855/0920 berbanding dolar AS 4.0850/0890 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan kini terarah kepada bagaimana keadaan semasa akan mempengaruhi inflasi dan yang lebih penting adalah berhubung keputusan kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.

“Jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah pada September meningkat kepada 64.8 peratus berbanding 51.5 peratus pada awal Julai. Justeru, keadaan ini dijangka terus menyokong pengukuhan dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes bagaimanapun berkata ringgit kekal berdaya tahan sepanjang minggu ini meskipun dolar AS mengukuh secara keseluruhan.

Ini mencerminkan strategi dagangan yang lebih tertumpu kepada prestasi relatif antara mata wang global dan bukannya pengukuhan dolar AS secara menyeluruh.

“Ringgit turut disokong oleh peningkatan terma perdagangan Malaysia susulan data perdagangan yang kukuh baru-baru ini. Pada masa sama, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga memberikan sedikit perlindungan kepada mata wang tempatan ketika harga minyak terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Berbanding yen Jepun, ringgit meningkat kepada 2.5051/5092 daripada 2.5057/5081 ketika ditutup pada Rabu, bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.6624/6698 daripada 4.6585/6631 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4648/4735 daripada 5.4612/4666 sebelum ini.

Sementara itu, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1646/1699 daripada 3.1635/1668 ketika ditutup semalam serta merosot berbanding baht Thailand kepada 12.0924/1173 daripada 12.0787/0944.

Mata wang tempatan itu tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.0/228.4 berbanding 228.0/228.3 semalam dan kekal pada paras 6.61/6.63 berbanding peso Filipina daripada 6.61/6.62 sebelumnya. – Bernama