Perpaduan, belia pemacu kemajuan Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SERIAN: Semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan penglibatan aktif golongan belia perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan secara mampan demi kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, kestabilan yang dinikmati Sarawak hari ini adalah hasil perpaduan rakyat yang menjadi asas kepada kemajuan negeri.

DR Simon Sinang Bada bersama tetamu kehormat, pemimpin masyarakat dan hadirin merakam gambar kenangan ketika Program Santai Hari Sarawak 2026 di Kampung Gahat Mawang.

Menurutnya, perpaduan membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan secara berterusan sekali gus membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Hari Sarawak 2026, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu di Kampung Gahat Mawang, hari ini.

Dr Simon berkata, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah negeri, malah menjadi medan untuk rakyat memahami perjalanan Sarawak bermula di bawah pemerintahan Rajah Brooke, pendudukan Jepun, penyerahan kepada British sehingga pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau turut mengingatkan bahawa Hari Sarawak diisytiharkan sebagai cuti umum pada 22 Julai 2016 sebagai pengiktirafan terhadap sejarah, identiti dan perjuangan rakyat negeri ini.

Katanya, selepas lebih enam dekad diterajui kepimpinan anak Sarawak, negeri ini berjaya mencatat pelbagai pencapaian termasuk penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo, pembinaan Jambatan Batang Lupar serta pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kampung Gahat Mawang menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM3.3 juta melibatkan pembinaan jalan pertanian bernilai RM3.2 juta, bantuan RM100,000 kepada gereja dan RM200,000 bagi menaik taraf jalan di dalam kampung.

Menurutnya, pelaksanaan projek-projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif sehingga ke kawasan luar bandar.