Bangkok arah 56 premis hiburan ditutup sementara susulan insiden kebakaran maut

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Bangkok mengarahkan 56 premis hiburan ditutup sementara dan mengarahkan ratusan premis lain meningkatkan langkah keselamatan kebakaran selepas insiden kebakaran maut bulan ini mencetuskan pemeriksaan di seluruh bandar raya berkenaan.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata pegawai Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menjalankan pemeriksaan ke atas 824 daripada 1,091 premis hiburan di seluruh bandar raya itu dalam tempoh tiga hari lepas.

“Daripada jumlah itu, 217 premis mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan, 551 diarah membuat penambahbaikan dan membetulkan kekurangan, manakala 56 lagi diarah menggantung operasi sementara selepas dikesan mempunyai kelemahan aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa memperkenalkan senarai semak keselamatan 17 perkara standard dan menguatkuasakannya di bawah Akta Kesihatan Awam 1992 bersama undang-undang lain berkaitan bagi meningkatkan piawaian keselamatan di premis hiburan di seluruh Bangkok.

PREMIS hiburan di Bangkok menjalani pemeriksaan keselamatan selepas pihak berkuasa mengarahkan 56 premis ditutup sementara kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan. Foto AFP

“BMA akan meneruskan pemeriksaan dalam tempoh dua bulan akan datang termasuk pemeriksaan susulan. Pengusaha premis juga dikehendaki mengemukakan dokumen pengesahan daripada jurutera atau pakar bertauliah lain bagi perkara yang tidak boleh disahkan secara visual, seperti sistem elektrik dalaman dan bahan penebat bunyi, bagi mengesahkan ia mematuhi piawaian keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bangkok melaporkan bahawa insiden kebakaran di sebuah bar di kawasan Lat Phrao, Bangkok pada 13 Julai lepas meragut satu lagi nyawa selepas seorang mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital pada Rabu, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 35 orang.

Pusat itu memaklumkan 21 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, termasuk 12 di unit rawatan rapi (ICU) dan sembilan di wad biasa. Kebakaran berkenaan turut menyebabkan 77 cedera. – Bernama