
SIBU: Generasi muda digesa agar memahami dan menghayati kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai langkah paling penting untuk mempertahankan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemahaman terhadap setiap peruntukan dalam MA63 akan membolehkan rakyat, khususnya golongan muda, mempertahankan hak negeri berdasarkan asas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Jawapannya mudah, baca Perjanjian Malaysia (Malaysian Agreement). Untuk mempertahankan hak Sarawak, anak Sarawak yang lahir selepas pembentukan Malaysia mesti tahu kandungan MA63. Kalau tidak tahu, bagaimana hendak mempertahankannya,” ujarnya semasa menjawab soalan peserta pada sesi Dialog Hari Sarawak 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, petang ini.
Menurutnya, MA63 lahir hasil rundingan yang menetapkan hak Sarawak ketika pembentukan Malaysia pada 1963, namun terdapat beberapa perkara yang terhakis sepanjang tempoh itu sehingga mendorong usaha mengembalikan kuasa kepada negeri melalui proses devolusi kuasa.
“Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu adalah sebagai contoh kejayaan kerajaan Sarawak mendapatkan semula hak yang termaktub di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan,” jelasnya.
Abang Johari memberitahu, pada akhir 1970-an, Pelabuhan Bintulu diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pembiayaan pembangunan industri gas asli cecair (LNG), namun kini Sarawak mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil alih aset strategik itu.
“Pelabuhan Bintulu kini milik Sarawak. Itu hanya satu contoh. Ada beberapa lagi perkara yang sedang dirundingkan supaya kuasa yang sewajarnya dikembalikan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau mencadangkan institusi pengajian tinggi, khususnya fakulti undang-undang di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), memberi penekanan kepada pengajian MA63 supaya lebih ramai peguam dan pengamal undang-undang memahami asas perjanjian tersebut.
“Mereka perlu tahu setiap ayat dan maksud yang terkandung dalam MA63. Apabila rakyat memahami kandungannya, hak Sarawak akan lebih terjamin pada masa depan,” tegasnya.
Ketika menjawab soalan mengenai pembangunan sukan, Abang Johari berkata, kejayaan Kuching City FC dan kemunculan negara kecil seperti Cape Verde di pentas bola sepak dunia membuktikan saiz populasi bukan penghalang untuk melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.
“Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan pelaburan dalam pembangunan sukan menerusi penyediaan kemudahan bertaraf antarabangsa serta sokongan kewangan yang lebih besar.
“Sarawak juga bersedia memainkan peranan sebagai tuan rumah bersama temasya sukan utama termasuk Sukan SEA, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem sukan yang lebih kompetitif di negeri ini.
“Kita mahu membina semangat anak muda melalui sukan. Jika Cape Verde yang hanya mempunyai kira-kira 500,000 penduduk boleh berjaya, Sarawak yang mempunyai hampir 2.8 juta penduduk juga mampu melakukannya,” katanya lagi.
Turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Oleh Akun Giman dan Tarani Lanting





