Austria ubah rumah tempat Hitler lahir jadi balai polis

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

VIENNA: Rumah tempat Adolf Hitler dilahirkan di bandar Braunau am Inn, Austria akan mula beroperasi sebagai balai polis hari ini selepas menjalani kerja pengubahsuaian selama beberapa tahun, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Langkah itu bertujuan menghalang bangunan berhampiran sempadan Bavaria berkenaan daripada terus menjadi tumpuan golongan neo-Nazi.

Kerja pengubahsuaian bangunan itu menelan kos kira-kira €20 juta (AS$22.8 juta).

Mengikut perancangan, kompleks yang turut merangkumi beberapa bangunan tambahan dan sebuah halaman itu akan menempatkan anggota daripada markas polis daerah serta balai polis tempatan.

Rumah tempat Hitler dilahirkan pada 20 April 1889 itu sekian lama dimiliki pihak persendirian sebelum diambil alih kerajaan pada 2017 susulan pertikaian undang-undang.

RUMAH kelahiran Hitler.

Sebuah suruhanjaya pakar sebelum ini menolak cadangan untuk merobohkan bangunan berkenaan atau menjadikannya muzium, sebaliknya mengesyorkan reka bentuk baharu supaya rupa asalnya sukar dikenal pasti.

Rumah kelahiran Hitler itu sebelum ini berulang kali menjadi tumpuan pelampau berhaluan kanan.

Kerajaan turut berpandangan penggunaannya sebagai balai polis adalah langkah yang sesuai kerana individu yang mencurigakan boleh diperiksa serta-merta di lokasi berkenaan.

Hitler mencetuskan Perang Dunia Kedua yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 juta orang.

Kira-kira enam juta orang Yahudi turut dibunuh dalam peristiwa Holocaust. – Bernama