LUNDU: Sambutan Hari Sarawak 2026 di Lundu disemarakkan menerusi penganjuran Hari Jantung Lundu yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam usaha memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan semangat kebersamaan.
Program yang berlangsung di Town Square Lundu itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.

Azizul Annuar berkata, sambutan Hari Sarawak tahun ini amat bermakna kerana genap sedekad 22 Julai diwartakan sebagai cuti umum oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bagi membolehkan seluruh rakyat Sarawak meraikan hari bersejarah tersebut.
Menurutnya, hasrat Allahyarham adalah untuk menjadikan Hari Sarawak sebagai platform menyatukan rakyat pelbagai kaum dalam semangat perpaduan dan kebersamaan.
Sementara itu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu yang mewakili Yayasan Jantung Sarawak berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan.
Beliau berkata, amalan gaya hidup sihat perlu dijadikan budaya agar rakyat terus menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program bermula seawal 7.00 pagi, antaranya Walk a Mile, saringan kesihatan percuma, pemeriksaan sendiri payudara, senam sihat serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah basikal lipat.
Program anjuran Yayasan Jantung Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta konvoi motosikal Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Pauzi Wan Ismail, Ketua Polis Daerah Lundu, Supt. Sudirman Kram; serta pemimpin masyarakat setempat.



